Monday, February 1, 2010

Kunjungan Syukur, Adik Ain Nur Safiya Selamat Menjalani Pembedahan

assalamualaikum,


anakmuda@bukit mahkota tidak dapat makluman berkaitan aktiviti ziarah YB ke bukit Mahkota.
kalau ada maklumat, nak juga hadir bersama-sama. Insya-allah, sekiranya ada kelapangan masa jom kita pergi ziarah adik Ain Nur Safiya...


sumber : Blog YB Dr Shafie:
Bukit Mahkota, 17 Safar = 01 Februari (Isnin):


Jika pertengahan bulan Disember 2009 lepas, ketika kami serombongan berkunjung ke rumah adik Ain Nur Safiya bt. Kamaruzzamin (3 ½ tahun) di Bukit Mahkota, anak ini berkeadaan lemah, muram, merengek, kelihatan pucat dan didukung ibunya. Namun, kunjungan kami pada malam ini berlainan sekali, anak ini begitu segar, berwajah ceria dan cergas. Ketibaan kami serombongan 15 orang pada jam 10.00 malam anak ini berada di halaman rumah bersama bapa dan ibunya. Anak ini menyambut kami, bersalam dan mencium tangan. Kami bersalam dengan bapanya yang begitu riang bersama isterinya. Riang kerana anak tunggalnya sihat dan riang kerana kami datang kali ini dengan menumpang gembira dan bersyukur bersama kepada Allah di atas pulihnya kesihatan Ain Nur Safiya.

Menceritakan ujian yang dilalui, En. Kamaruzzaman yang bekerja sebagai Tukang Masak bersama isterinya yang juga Tukang Masak di Golf Kelab Bukit Unggul, Jalan Dengkel (kini isterinya bertukar kerja di Cafetaria di Putrajaya), bahawa anak tunggalnya mengalami demam dan muntah-muntah. Mereka berdua menyangka demam biasa dan dibawa ke klinik swasta, tetapi selang beberapa hari anak itu demam dan muntah-muntah lagi dan dibawa ke klinik semula. Setelah pemeriksaan teliti dibuat, Ain Nur Safiya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan disahkan 'Jantung Berlubang'. Berita yang diterima ini amat merisaukan Encik Kamaruddin dan isterinya. Mereka berusaha untuk merawat anak mereka.


Mereka mendapat maklumat bahawa pihak Pakar di IJN bercadang untuk membedah bagi memperbaiki jantung Ain Nur Safiya secara laser, tetapi setelah pemeriksaan rapi dibuat, ternyata lubang agak besar sebesar wang shilling 10 sen dan tidak dapat dijalankan secara laser, tetapi memerlukan kepada pembedahan. Untuk pembedahan ini pihak IJN memberitahu memerlukan bayaran sebanyak RM25,000. "Jumlah ini amat besar bagi kami suami isteri dan di luar kemampuan kami," kata En. Kamaruzzaman. "Setelah berunding dan mendapat nasihat dari banyak pihak, kami dinasihati supaya membuat rayuan," tambah En. Kamaruzzaman dan rayuan dibuat oleh En. Kamaruzzaman.


Rayuan En. Kamaruzzaman diterima oleh pihak IJN dan kos pembedahan berkurang dan dikehendaki dilunaskan ialah sebanyak RM15,000. "Walaupun diturunkan kepada RM15,000 jumlah ini juga tidak mampu kami adakan," kata En. Kamaruzzaman. "Tetapi kami suami isteri tetap berikhtiar bagi menyelamatkan anak tunggal kesayangan kami," kata En. Kamaruzzaman. Atas simpati sahabat yang sama sekerja, termasuk En. Ari Krishnan yang hadir pada malam ini, mereka menganjurkan Tabung Derma bagi mendapatkan jumlah dana yang diperlukan. Kami mengejar masa, kerana tarikh Ain Nur Safiya perlu masuk IJN bagi pembedahan ialah pada 25 Disember 2009 dan tarikh pembedahan ialah dua hari berikutnya (27.12.2009).

Saudara Ari Krishnan sebagai Ketua Perpaduan Kaum India di Pekan Bangi yang sama setempat kerja dengan En. Kamaruzzaman mendekati ADUN Bangi bagi mendapat bantuan melengkapkan jumlah yang diperlukan yang masih belum cukup. Cadangan dari Saudara Ari diterima dan kami serombongan datang beberapa hari sebelum Ain Nur Safiya masuk ke IJN menyampaikan bantuan. Berkat doa semua, Adik Ain Nur Safiya dibedah pada 27.12. 2009. Alhamdulillah pembedahan berjalan dengan baik dan selamat. Menurut En. Kamaruzzaman penampal diambil dari organ dalaman Ain Nur Safiya. Dan beliau dibenarkan keluar pada 3 Januari 2010. Ain Nur Safiya akan dibawa untuk rawatan susulan sehingga kesan pembedahan itu benar-benar sembuh.

Berita gembira disampaikan kepada ADUN oleh Saudara Ari Krishna dan menyatakan ibu bapa Ain Nur Safiya berhasrat mengadakan majlis Doa Selamat dan Kesyukuran dan meninjau kemungkinan ADUN boleh datang atau tidak.


ADUN bersetuju hadir dengan pengiring Sdr. Azizi bersama Nada dan Nabilah dari Pejabat ADUN. Pada malam ini hadir bersama Tuan Haji Mazwan Naib YDP dan Ahli MPKj bagi Kawasan Pekan Bangi-Bandar Seri Putera dan Bukit Mahkota, hadir sama Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan, Saudara Abu Bakar AJK Kawasan, Saudara Marzuki Ketua Kampung Pekan Bangi dan AJK-AJKnya, ahli-ahli PAS Bandar Seri Putra-Bukit Mahkota dan lain-lain. Di rumah En. Kamaruzzaman kami mengadakan doa selamat dan kesejahteraan bagi keluarga En. Kamaruzzaman, diikuti jamuan secara sederhana sebelum kami pengunjung memohon diri.


Sekian.

Wednesday, January 20, 2010

Rang daftar pemilih tambahan suku tahun keempat 2009 dipamer

PUTRAJAYA 20 Jan. – Rang daftar pemilih tambahan bagi suku tahun keempat 2009 mula dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini sehingga Selasa minggu depan di 999 tempat pameran seluruh negara.

Ia akan dipamerkan di pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos berkomputer, kompleks atau pejabat kerajaan, pejabat daerah atau pejabat tanah, majlis daerah atau perbandaran, dewan serba guna, rukun tetangga, balai raya dan tempat-tempat lain.

SPR dalam satu kenyataan hari ini meminta semua warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi supaya untuk membuat semakan.

Mereka yang mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan lanjut boleh hadir sendiri ke ibu pejabat SPR atau menelefon 03-88856500, pejabat pilihan raya, atau dengan melayari laman web SPR www.spr.gov.my. – Bernama




Tuesday, January 19, 2010

Takzirah:Kiamat dari perspektif agama

Walaupun sifat sebenar hari kiamat tidak diketahui, namun terdapat gambaran-gambaran yang diberikan dalam al-Quran tentang hari kemusnahan yang juga disebut sebagai as-Sa’ah.


DIRIWAYATKAN dalam hadis, banyak bencana alam terjadi sebelum kiamat. - Gambar hiasan


TIDAK ada sesiapa boleh menyangkal bahawa kepercayaan kepada hari kiamat turut didasari dengan unsur keagamaan. Justeru, kupasan berdasarkan perspektif agama adalah perlu untuk mengelakkan tersasar pemahaman.

Bagi sesetengah agama yang menyeru umatnya mengimaninya, hari kiamat merujuk kepada hari berakhirnya dunia dan bermulanya alam akhirat.

Berdasarkan Islam, hari kiamat adalah hari semua manusia dibangkitkan selepas kematian dan segala amalan ketika di dunia dihitung. Bagi mereka yang berbuat baik dan beramal soleh diberikan ganjaran syurga dan bagi mereka yang ingkar dibalas neraka.

Menurut Ketua Jabatan Usuluddin, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Abu Zaki Ismail, sebelum manusia dibangkitkan seluruh alam dan isinya akan dibinasakan.

"Sehingga pada saat itu, disebutkan dalam al-Quran, hanya Allah sahaja yang hidup, malaikat-malaikat turut dimatikan," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, hanya Allah yang tahu bila ia akan berlaku. Turut disebutkan di dalam al-Quran bahawa hari itu tidak akan datang melainkan secara tiba-tiba.

"Justeru, kalau ada orang yang meramal, ramalan itu pasti tidak benar," ujarnya sambil memberitahu hari kiamat disebut sebagai yaumul qiyamah dalam bahasa Arab.


ABU ZAKI ISMAIL


Walaupun sifat sebenar hari itu tidak diketahui, namun terdapat gambaran-gambaran yang diberikan dalam al-Quran tentang hari kemusnahan atau juga disebut sebagai as-Sa'ah.

"Misalnya disebutkan langit runtuh dalam surah al-Infitor, langit terbelah dalam surah al-Insyiqaq, langit digulung dalam surah al-Anbia', bumi bergegar dalam surah al-Zalzalah dan sebagainya," tambahnya.

Katanya, walaupun Allah berfirman 'la ta'tiikum illaa baghtah' (Tidaklah ia datang melainkan secara tiba-tiba), namun Islam turut menggariskan beberapa tanda sebelum kedatangannya.

Antara tanda-tanda kecil adalah zina bermaharajalela, ramai orang soleh meninggal dunia, negara Arab berpadang rumput, banyak saksi palsu dan lain-lain. Antara tanda-tanda besar pula adalah matahari terbit di sebelah barat, lahirnya Dajal dan turunnya Nabi Isa.

Abu Zaki menjelaskan, antara tanda-tanda lain kiamat semakin tiba juga adalah berlakunya banyak bencana alam.

"Diriwayatkan dalam satu hadis, sebelum tibanya hari kiamat, berlaku banyak bencana sehinggakan manusia yang hidup apabila melalui tepi kubur berharap agar mereka (manusia yang hidup itu) yang berada di dalam kubur tersebut. Mereka bukan berkata demikian kerana hendak mati tetapi berkata begitu kerana tidak tahan untuk terus hidup," ujarnya.

Berhubung ramalan yang digembar-gemburkan, Abu Zaki berkata, ia bukanlah satu perkara yang penting untuk difikirkan.

"Apa yang penting ialah kita berusaha melengkapkan amal dan bersedia menghadapinya. Walaupun kita tidak tahu bila ia akan berlaku, tetapi ia tetap akan berlaku," ujarnya mengakhiri perbualan.

Hari kiamat turut ada dalam kepercayaan Kristian dan ia lazim disebut The Last Judgement, Final Judgement atau Day of Lord.

Sementara itu, menurut penasihat Malaysia Hindu Sangam, Datuk A. Vaithilingam, berdasarkan perhitungan Hindu, dunia kini sedang berada dalam fasa terakhir kitaran iaitu kali yuga.




Menurutnya, dunia telah melalui fasa pertama, kiru thayuga; fasa kedua, thiretha yuga; fasa ketiga, thuvabara yuga dan kini melalui fasa terakhir iaitu kali yuga.

"Tetapi, kali yuga merangkumi tempoh 432,000 tahun dan tahun ini, baru 5,111 tahun kali yuga. Ada beratus ribu tahun lagi untuk ia berakhir," kata Vaithilingam.


A. VAITHILINGAM


Bagaimanapun, Vaithilingam berkata, menurut ajaran Hindu, dunia ini tidak akan musnah terus sebaliknya akan melalui satu kitaran baru.

"Dalam agama Hindu, kemusnahan dunia 100 peratus atau secara sekali gus tidak mungkin berlaku. Dalam dunia ini, ada orang yang baik dan kami percaya Tuhan tidak akan membuat kemusnahan begitu.

"Selepas tamat tempoh kali yuga, kitaran lengkap akan berakhir dan dunia akan berubah kepada bentuk yang lain yang hanya diketahui Tuhan," katanya.

Vaithilingam menggesa orang ramai agar tidak berasa takut dengan ramalan-ramalan bila berlakunya kemusnahan dunia.

"Manusia tidak perlu bimbang dengan ramalan-ramalan ini. Mereka harus fokus dalam menjalani kehidupan harian tanpa berasa takut," katanya.

Takzirah : Tauhid mantap benteng ujian...


Tauhid mantap benteng ujian

MEGA: Bagaimanakah sepatutnya umat Islam mendepani isu kalimah Allah yang dihadapi sekarang?

ABU ZAKI: Maha Suci Allah. Kalimah Allah ini cukup hebat dan agung sehingga diminati oleh orang yang belum mengenali Allah dan dipertahankan pula oleh orang Islam.

Melihat kepada konteks semasa dan setempat, ramai berpandangan kalimah Allah tidak wajar digunakan oleh orang bukan Islam. Alasannya, masyarakat Islam Melayu sudah biasa menyebut Allah sebagai nama khusus bagi Tuhan mereka. Berbanding yang bukan Islam pula termasuk Kristian tidak menggunakan kalimah tersebut. Sebaliknya mereka gunakan Tuhan, God atau Lord.

Sewajarnya dalam menangani isu ini, umat Islam bertindak secara waras dan bijak berlandaskan undang-undang negara.

Antara yang boleh dilakukan adalah mengadakan dialog agama. Dialog sebegini dalam sejarah Islam menatijahkan hasil yang baik apabila ia melahirkan banyak cabang ilmu dan perbahasan ilmiah.

Sehinggakan lahirnya ilmu perbandingan agama dan mazhab. Antara yang paling awal adalah kitab al-Milal wan-Nihal (agama-agama dan mazhab) karangan Imam Syahrastani.

Kebimbangan utama umat Islam adalah pada kekeliruan yang akan timbul terutama di kalangan masyarakat yang kurang pendedahan tentang ilmu perbandingan agama. Di sini, kita menggunakan kaedah Sadd zara'ie iaitu menyekat keburukan sebelum ia berlaku.

Dalam sejarah Islam, dialog agama bahkan debat agama berlaku tanpa sekatan. Cuma, umat Islam dilindungi oleh pengajian akidah yang mantap dan wujudnya undang-undang murtad yang tegas.

Dalam keadaan demikianlah, masyarakat Islam silam berjaya mendepani cabaran kemajmukan masyarakat dalam empayar Islam yang besar, merangkumi pelbagai agama di dalamnya.

Ada yang melihat 'kebimbangan' umat Islam dalam isu ini menunjukkan kelemahan kita sendiri. Betulkah demikian?

ABU ZAKI: Barangkali ada benarnya. Pengajaran daripada isu ini adalah umat Islam perlu mantapkan diri dengan ilmu akidah. Kita juga perlu memastikan generasi muda dibekalkan dengan asas akidah yang mantap.

Pengajian agama tidak memadai setakat memahami bab fardu ain sahaja. Sebaliknya, umat Islam perlu diberi pendedahan dan kefahaman tentang ilmu perbandingan agama. Sebabnya, dalam kehidupan seharian, kita saling berhubung antara satu sama lain dengan pelbagai kaum dan agama.

Umat Islam kini perlu memperkasakan diri dengan pelbagai ilmu agama. Sebabnya, cabaran dari segi akidah, sosial dan pemikiran semakin rencam. Justeru, kita perlukan pendekatan baru.

Justeru, saya tegaskan agar para pelajar Islam di Malaysia wajib sekurang-kurangnya lulus subjek Pengetahuan Agama Islam dalam peperiksaan rasmi iaitu Ujian Penlaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Pendek kata, kalau iman mantap kita tidak akan goyah walau apa pun cabaran yang datang. Boleh ustaz ulas lanjut?

ABU ZAKI: Memang benar. Ini sudah disebut oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, Maka dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (al-Maidah: 105)

Berpandukan ayat di atas, jika semua umat Islam mantap ilmu dan imannya, kita tidak bimbang akan terjerumus atau tergelincir dalam kesesatan.

Demikian yang dicatat sejarah dalam peristiwa Khalifah Umar mengunjungi Baitul Maqdis di Palestin untuk menerima penyerahan kunci. Di situ, Khalifah Umar solat di sebelah luar gereja.

Sebenarnya, Saidina Umar dipersilakan solat di dalam gereja tetapi beliau menolak. Alasan beliau, jika beliau solat di dalam gereja dibimbangi umat Islam yang terkemudian akan merampas gereja daripada orang kristian.

Malah, beliau turut memberi jaminan bahawa rumah-rumah ibadat agama lain tidak akan dihancurkan atau diambil alih oleh orang Islam.

Sikap beliau menzahirkan peribadi yang kukuh dari segi akidah tetapi amat terbuka menerima kewujudan penganut agama lain dalam sebuah empayar Islam yang besar.

Kekuatan sebegini yang perlu dibina untuk dihayati oleh setiap umat Islam.

Apa pula peluang yang perlu diambil oleh para pendakwah dalam keadaan sekarang?

ABU ZAKI: Memang isu kalimah Allah ini menyentuh setiap individu Muslim. Pada masa yang sama, Islam ingatkan kita tentang perlunya setiap Muslim menjadi pendakwah.

Dengan kata lain, setiap umat Islam sepatutnya boleh menjelaskan konsep tauhid dan meng-Esakan Allah kepada masyarakat bukan Islam di sekitarnya.

Dari sudut akademik, pengakuan orang bukan Islam bahawa pencipta alam ini adalah Allah sudah termasuk dalam aspek rububiah yang ada dalam naluri hati manusia.

Inilah yang dimaksudkan Allah dalam firman-Nya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan Kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (al-A'raaf: 172)

Maka, naluri mempercayai adalah tuhan pencipta (Rububiah) inilah yang perlu disuburkan oleh para pendakwah ke arah meng-Esakan Allah dalam sembahan (uluhiah).

Tidak jadi masalah jika bukan Islam akui bahwa pencipta alam itu adalah Allah. Tetapi apabila mereka mengaitkan Allah dengan sembahan-sembahan lain seperti Nabi Isa dan Ruh Kudus, ini menimbulkan kemarahan umat Islam. Allah SWT berfirman dalam surah al-A'la yang bermaksud: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang maha tinggi.

Pada titik inilah toleransi agama dan keharmonian masyarakat sepatutnya diberi keutamaan.

Tuesday, January 12, 2010

Hari Keluarga PAS Putra Mahkota 2010


Assalamualaikum,


Tuan2 dan Puan2,

Untuk perhatian - Hari Keluarga PAS Putra Mahkota 2010 (Gabungan Pas Caw Seri Putra dan Pas Caw Bkt Mahkota)

Tarikh : 27-28 Feb 2010

Tempat : Impian Country Resort, Sg Semungkis

UTK BERMINAT TEMPAH CHALET - TEMPAT TERHAD BERDASARKAN 1ST COME (WITHFULL PAYMENT), 1ST SERVE. TAPAK KHEMAH JUGA TERSEDIA

BERMINAT. ISI BORANG. BORANG BOLEH DIPEROLEHI DI http://www.maynetwork.net/borang.doc

Banyakkan menerang bukan menyerang – Abdul Hadi

Oleh Nazri Abdullah

SHAH ALAM, Harakahdaily-9 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini mengingatkan seluruh kepimpinan parti di seluruh peringkat agar terus memberi penerangan kepada masyarakat khususnya berkaitan isu-isu semasa yang melanda negara.

Berucap sewaktu merasmikan program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pagi ini beliau memberitahu tugas menyedarkan masyarakat bukan sahaja diberi ganjaran pahala yang besar malah ianya juga prasyarat mencapai kemenangan.

“Kewajipan kita lebih banyak menerang, bukan menyerang, sebab itu kita namakan lajnah penerangan, bukan penyerangan,” ujarnya.

Apatah lagi katanya, perkembangan teknologi sekarang khususnya kemunculan blog yang kadang kala melaporkan maklumat yang tidak benar boleh memberi kesan buruk jika tidak pandai ditangani.

Namun apa yang penting ujarnya, adalah iltizam dan istiqamah pimpinan parti memberi keterangan sebenar kepada masyarakat berdepan maklumat yang salah yang dilapor dalam blog.

“Maklumat yang betul tidak apa, maklumat salah menimbulkan masalah kadang kadang menimbulkan masalah dalaman.

“Sebab itu tugas penerangan sangat besar dalam hal ini,” katanya lagi.

Menyentuh isu semasa, beliau turut mengutuk keras serangan membakar gereja yang dianggap bukan dari ajaran Islam.

“Kenapa berlaku bakar gereja, serang gereja? Ajaran mana mereka dapat?

“Ini punca sikap jahil terhadap agama Islam itu sendiri, jahil feqah dan jahil politik,” katanya lagi.

Lebih 500 pemimpin PAS khususnya jentera penerangan di segenap peringkat hadir menyertai taklimat anjuran Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat hari ini.

Mereka terdiri dari Ahli Majlis Syura Ulama, AJK Pusat, pimpinan dan AJK Dewan Ulama’, Pemuda dan Muslimat Pusat, Dewan Harian Badan Perhubungan Negeri dan Wilayah, Ketua dan Setiausaha Penerangan Ulama’/Pemuda/Muslimat Negeri-Negeri, AJK Lajnah Penerangan Dan Dakwah Pusat, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Adun-Adun dan Ketua serta setiausaha Penerangan Kawasan.

Program sehari ini antara lain akan membentangkan secara khusus isu-isu nasional serta isu-isu yang berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Dalam program ini juga semua jentera penerangan akan didedahkan cara berdepan dengan beberapa isu yang dimanipulasi media dan parti pemerintah.

Mereka juga akan dibentangkan isu-isu nasional dan isu-isu di sekitar negeri Pakatan Rakyat sama ada Kelantan, Kedah, Selangor dan termasuk juga isu Perak.

Program hari ini juga dijangka berakhir jam 5.30 petang ini dengan perasmian penutup akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Wednesday, December 9, 2009

Program Hari famili ceria ditangguhkan ke 2010...

assalamualaikum,

maaf lama tak update blog ni. masa begitu terbatas untuk menukilkan bicara diblog ini.
Insya-allah, anakmuda@bukit mahkota ingin memaklumkan program famili ceria PAS Bdr Bukit mahkota bergandingan dengan bdr seri putra akan diadakan pada 27-28 Febuari 2010 bertempat di Impian Country Resort, Hulu langat.

Jumpa di sana....