Tuesday, January 19, 2010

Takzirah : Tauhid mantap benteng ujian...


Tauhid mantap benteng ujian

MEGA: Bagaimanakah sepatutnya umat Islam mendepani isu kalimah Allah yang dihadapi sekarang?

ABU ZAKI: Maha Suci Allah. Kalimah Allah ini cukup hebat dan agung sehingga diminati oleh orang yang belum mengenali Allah dan dipertahankan pula oleh orang Islam.

Melihat kepada konteks semasa dan setempat, ramai berpandangan kalimah Allah tidak wajar digunakan oleh orang bukan Islam. Alasannya, masyarakat Islam Melayu sudah biasa menyebut Allah sebagai nama khusus bagi Tuhan mereka. Berbanding yang bukan Islam pula termasuk Kristian tidak menggunakan kalimah tersebut. Sebaliknya mereka gunakan Tuhan, God atau Lord.

Sewajarnya dalam menangani isu ini, umat Islam bertindak secara waras dan bijak berlandaskan undang-undang negara.

Antara yang boleh dilakukan adalah mengadakan dialog agama. Dialog sebegini dalam sejarah Islam menatijahkan hasil yang baik apabila ia melahirkan banyak cabang ilmu dan perbahasan ilmiah.

Sehinggakan lahirnya ilmu perbandingan agama dan mazhab. Antara yang paling awal adalah kitab al-Milal wan-Nihal (agama-agama dan mazhab) karangan Imam Syahrastani.

Kebimbangan utama umat Islam adalah pada kekeliruan yang akan timbul terutama di kalangan masyarakat yang kurang pendedahan tentang ilmu perbandingan agama. Di sini, kita menggunakan kaedah Sadd zara'ie iaitu menyekat keburukan sebelum ia berlaku.

Dalam sejarah Islam, dialog agama bahkan debat agama berlaku tanpa sekatan. Cuma, umat Islam dilindungi oleh pengajian akidah yang mantap dan wujudnya undang-undang murtad yang tegas.

Dalam keadaan demikianlah, masyarakat Islam silam berjaya mendepani cabaran kemajmukan masyarakat dalam empayar Islam yang besar, merangkumi pelbagai agama di dalamnya.

Ada yang melihat 'kebimbangan' umat Islam dalam isu ini menunjukkan kelemahan kita sendiri. Betulkah demikian?

ABU ZAKI: Barangkali ada benarnya. Pengajaran daripada isu ini adalah umat Islam perlu mantapkan diri dengan ilmu akidah. Kita juga perlu memastikan generasi muda dibekalkan dengan asas akidah yang mantap.

Pengajian agama tidak memadai setakat memahami bab fardu ain sahaja. Sebaliknya, umat Islam perlu diberi pendedahan dan kefahaman tentang ilmu perbandingan agama. Sebabnya, dalam kehidupan seharian, kita saling berhubung antara satu sama lain dengan pelbagai kaum dan agama.

Umat Islam kini perlu memperkasakan diri dengan pelbagai ilmu agama. Sebabnya, cabaran dari segi akidah, sosial dan pemikiran semakin rencam. Justeru, kita perlukan pendekatan baru.

Justeru, saya tegaskan agar para pelajar Islam di Malaysia wajib sekurang-kurangnya lulus subjek Pengetahuan Agama Islam dalam peperiksaan rasmi iaitu Ujian Penlaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Pendek kata, kalau iman mantap kita tidak akan goyah walau apa pun cabaran yang datang. Boleh ustaz ulas lanjut?

ABU ZAKI: Memang benar. Ini sudah disebut oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, Maka dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (al-Maidah: 105)

Berpandukan ayat di atas, jika semua umat Islam mantap ilmu dan imannya, kita tidak bimbang akan terjerumus atau tergelincir dalam kesesatan.

Demikian yang dicatat sejarah dalam peristiwa Khalifah Umar mengunjungi Baitul Maqdis di Palestin untuk menerima penyerahan kunci. Di situ, Khalifah Umar solat di sebelah luar gereja.

Sebenarnya, Saidina Umar dipersilakan solat di dalam gereja tetapi beliau menolak. Alasan beliau, jika beliau solat di dalam gereja dibimbangi umat Islam yang terkemudian akan merampas gereja daripada orang kristian.

Malah, beliau turut memberi jaminan bahawa rumah-rumah ibadat agama lain tidak akan dihancurkan atau diambil alih oleh orang Islam.

Sikap beliau menzahirkan peribadi yang kukuh dari segi akidah tetapi amat terbuka menerima kewujudan penganut agama lain dalam sebuah empayar Islam yang besar.

Kekuatan sebegini yang perlu dibina untuk dihayati oleh setiap umat Islam.

Apa pula peluang yang perlu diambil oleh para pendakwah dalam keadaan sekarang?

ABU ZAKI: Memang isu kalimah Allah ini menyentuh setiap individu Muslim. Pada masa yang sama, Islam ingatkan kita tentang perlunya setiap Muslim menjadi pendakwah.

Dengan kata lain, setiap umat Islam sepatutnya boleh menjelaskan konsep tauhid dan meng-Esakan Allah kepada masyarakat bukan Islam di sekitarnya.

Dari sudut akademik, pengakuan orang bukan Islam bahawa pencipta alam ini adalah Allah sudah termasuk dalam aspek rububiah yang ada dalam naluri hati manusia.

Inilah yang dimaksudkan Allah dalam firman-Nya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan Kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (al-A'raaf: 172)

Maka, naluri mempercayai adalah tuhan pencipta (Rububiah) inilah yang perlu disuburkan oleh para pendakwah ke arah meng-Esakan Allah dalam sembahan (uluhiah).

Tidak jadi masalah jika bukan Islam akui bahwa pencipta alam itu adalah Allah. Tetapi apabila mereka mengaitkan Allah dengan sembahan-sembahan lain seperti Nabi Isa dan Ruh Kudus, ini menimbulkan kemarahan umat Islam. Allah SWT berfirman dalam surah al-A'la yang bermaksud: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang maha tinggi.

Pada titik inilah toleransi agama dan keharmonian masyarakat sepatutnya diberi keutamaan.

No comments:

Post a Comment