Monday, May 31, 2010

Memperingati Almarhum Ustaz Fadzil Noor



Riduan Mohamad Nor   

SEMPENA SEMBILAN TAHUN PEMERGIAN(JUN 2001- JUN 2010)
Oleh: Riduan Mohamad Nor.
" Islam sebagai satu Al-Din tidak dapat ditakfsirkan dengan fikiran manusia. Dalam mentafsirkan makna Islam itu kita wajib berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta orang yang menghayati Al-Quran dan Al-Sunnah seperti para sahabat, Ulama-ulama dan juag para Tabi’in. Kita tidak melihat dan memahami cara Islam membentuk satu peradaban kemanusian seperti yang digambarkan oleh setengah orang. Islam juga bukanlah satu kebudayaan atau serpihan daripada kehidupan manusia, kalau kita melihat dan mengambil Islam dengan cara yang sedemikian, dapatlah diumpamakan seperti orang buta yang cuba mengenali seekor gajah. Bila dipegangnya ekor gajah itu dikatakan gajah itu seperti tali, apabila dipegang kaki gajah itu dikatakannya gajah itu seperti tiang dan apabila terpegangnya telinga gajah itu dikatakan gajah itu seperti dinding .sedangkan tali, tiang dan dinding bukanlah gajah tetapi ia hanya sebahagian daripada anggota-anggota gajah itu.
( Ustaz Fadhil Nor: 1992)
Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’yang lain.
Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.
Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.
Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.
Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.

Latar belakang keluarga
Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.
Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.
Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.

Pendidikan
Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.
Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.
Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur kebaktian di tanahair.

Perkahwinan
Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.

Bakat Kepimpinan
Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya regim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada ustaz Fadhil. ( Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu ).

Perkhidmatan
Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.
Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.
Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.
PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, ditengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh.

Aktiviti Kemasyarakatan
Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah.
Beliau pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.
Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.
Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.
Ustaz Fadhil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam gerakan dakwah, beliau tokoh pembina yang penting di negara ini: kata beliau:
"Kedatangan Islam yang di bawa oleh Rasullullah S.a.w itu mendapat sambutan dari kalangan muda. Rassullullah menyebut dalam hadishnya:
"Golongan mudalah yang menbantu perjuangan dakwah"
Itulah antara sebab kaum Quraisy tidak senang, mereka mahu golongan muda mereka hidup berpoya-poya, mereka mahu golongan muda mereka menghabiskan masa dengan hiburan ,mereka mahu golongan muda mereka tenggelam dalam kesesatan.
Inilah cita-citakaum Quraisy, dalam kebingugan golongan muda, dalam kesesatan golongan muda dalam kemungkaran yang dilakukan oleh golongan muda mereka boleh meneruskan kezaliman dan kejahatan.
Tetapi apabila mereka melihat golongan muda menyahut panggilan Allah, menyahut panggilan Rasul, menyahut panggilan islam inilah yang menyebabkan mereka tidur tidak lena, makan tak lalu. Yang menyebabkan mereka tidak senang dengan Islam dan kebangkitannya di akhir abad ke 14 dan di awal abad ke15 ini, ialah keran Islam mendapat sambutan golongan muda. I
nilah menyebabkan Amerika tidak senang, Rusia tidak senang, Yahudi tidak senang dan Khadam-khadam mereka pun tidak senang. Bila Tuan mereka tidak senang maka khadam ikut tidak senang juga. Menjadi satu perkara biasa khadam ini ikut tuan. Kadang-kadang ia berlagak lebih dari tuan.
Rusia sedang dalam ketakutan sekarang untuk menghadapi mujahidin Afghanistan walaupun ia kuasa besar kerana ia melihat Mujahidin Afghanistan itu sendiri dari golongan ummat Islam Afghanistan, dari mereka yang berumur 15 tahun hingga ke 70 tahun. Inilah golongan yang menyertai gerakan mujahidin di Afghanistan."
Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.
Ustaz Fadzil menyedari ulama mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam masyarakat, mereka kelompok yang mewarisi amanah ilmu daripada nabi SAW. Ulama disepanjang zaman menjadi benteng pertahanan Islam diseluruh belahan dunia Islam, berdadad dengan kezaliman pemerintahan seperti Imam Ahmad Ibnu Hambal, Imam Nawawi, Imam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya.
" Peranan ulama seperti yang diterangkan oleh sumber-sumber itu ialah menyampaikan Islam, melaksanakan Islam dan memperjuangkan Islam. Peranan ‘ulama’ dalam kehidupan ialah memikul tanggungjawab dakwah Islamiyyah dengan menyeru manusia kepada Islam. Mereka juga wajib menerangkan hukum Allah bagi semua persoalan hidup yang dihadapi oleh masyarakat dalam semua peristiwa yang berbangkit dan diantara kewajipan dan peranan ‘ulama’ juga ia menjelaskan kepada pemerintah, menegur dan mengkritik pemerintah dan melaksanakan Al-Amru Bil-Makruf dan Nahyu Anil-Munkar.
Tanggunjawab Ulama, seperti menegur, mengkritik pemerintah dan memberi penjelasan kepada pemerintah merupakan "kerja politik" yang mesti dipikul dan disedari ‘ulama’. Oleh yang demikian tidak boleh sama sekali membiarkan adanya ‘Ulama’ (juhhal) yang sanggup menyatakan bahawa Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik atau politik tidak ada kene mengena dengan Islam."
Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi

Penglibatan dalam Politik
Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).
Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.
PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.
Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989.Beliau menghadapi saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu peristiwa Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah dimana dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini.
Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.
Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.
Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.
Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).
Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS.
Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, almarhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.
Ustaz menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap mangsa kezaliman ISA, beliau semasa memimpin PAS sentiasa peduli kepada keluarga mangsa ISA, tidak lokek menghulurkan bantuan kewangan dan menyuarakan isu ini disemua peringkat. Beliau turun naik ke Bukit Aman merudingkan pembebasan mangsa ISA, terrmasuk meminta pihak berkuasa membatalkan waran tangkap terhadap ustaz Ibrahim Libya. Semasa menjadi ketua Pembangkang di Parlimen, ustaz Fadzil menyokong kuat Gerakan Mansuhkan ISA.
Beliau juga sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan latarbelakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. Di perhimpunan aman seperti di lebuhraya KESAS, dihadapan kedutaan asing, beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan, kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel atau Amerika.
Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam situasi antarabangsa. Apabila tentera Russia meninggalkan Afghanistan , beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabngsa yang lain seperti Sheikh Mustapha Masyhur qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk mendamaikan kumpulan yang bertelingkah.Begitu juga , apabila berlaku reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta, mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh yang bersatu.
Segala kenangan dengan lelaki berhati emas ini sangat mengesankan , beliau mampu mengingati nama-nama anak buah dengan baik, bertanya khabar, mengambil berat, seolah ayah kepada sebuah keluarga besar.
Perjalanan akhir yang memilukan
Sang murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam, semenjan zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam masyarakat disedari oleh ummat, beliau mengharungi zaman payah perjuangan , melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan . Ustaz sentiasa mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh ummat,didoakan selepas meninggalkan alam yang fana ini.
Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia ramai menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah.
Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata mengalir air mata kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am, sarat dengan makna yang mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.
Lujnah Dakwah dan Pembelaan Islam DPP Pusat akan mengadakan wacana Memperingati almarhum Ustaz Fadhil Noor pada 6 Jun ini, bertempat di Musolla Pejabat Agong PAS Pusat. Program ini dijangkakan seramai 200 orang peserta , dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Selangor. Antara pembentang ialah YS Salahuddin Ayub, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, Ustaz Fauzi Husain ( DUP Kedah). Semua dijemput hadir, Yuran 10.00 sahaja. Bermula 8.30 pagi..." Melakar masa depan bersama Islam"
**Riduan Mohamad Nor adalah exco DPPP, pendakwah dan perunding motivasi
 

Friday, May 28, 2010

Demo judi bola....

salam perjuangan,,

assalamualaikum,...

Dah lama rasanya tidak kemaskini blog ini....hampir 2 bulan lamanya.
Maaf disebabkan kesibukan tugas disamping urusan keluarga sebagai alasan mengapa blog ini tidak dapat dikemaskini daripada semasa ke semasa. lagipun dah lama juga rasanya tidak hadir usrah & juga aktiviti jamaah...Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada jamaah.

Monday, March 22, 2010

KUIZM bakal beroperasi Julai 2010 ini



KUIZM bakal beroperasi Julai ini

E-mail Cetak PDF

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) milik PAS akan mengambil pelajar sulung pada sesi Julai nanti apabila bangunan yang didirikan di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar siap sepenuhnya, kata Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamed.

Bercakap dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini pagi tadi, beliau memberitahu institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditubuhkan oleh Majlis Pendidikan PAS Peringkat Kebangsaan (MPPPK) itu telah mendapat pengiktirafan daripada universiti-universiti di Indonesia.

"Tempoh masa pengajian selama tiga tahun untuk mendapatkan diploma dan kemudian boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti di Indonesia. Kita telah pun mendapat pengiktirafan daripada universiti di Indonesia,” katanya.

KUIZM di bawah tanggungjawab Lembaga Khas Penubuhan Institut Pengajian Tinggi (LKPIPT) buat permulaannya akan menawarkan dua program iaitu Diploma Muamalat dan Kewangan Islam serta Diploma Dakwah dan Komunikasi.

KUIZM menawarkan kemasukan kepada pelajar-pelajar berkelulusan Sijil Menangah Ugama/Agama (SMU/SMA) dan / atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya.

Manakala yang tidak mempunyai kelulusan tersebut boleh dipertimbangkan melalui ujian kelayakan yang akan diadakan.

Yuran pengajian pula ialah sebanyak RM1, 500 setiap satu semester.

Dato' Mahfodz yang juga Pengerusi Lembaga Khas Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi bagi PAS (LKPIPT) juga berkata, idea penubuhan IPT di bawah seliaan sudah timbul pada tahun 80-an namun baru menjadi kenyataan pada tahun 2006 apabila PAS menubuhkan LKPIPT dan idea penubuhan IPT diluluskan oleh PAS Pusat pada 2008.

Nama KUIZM ini dipilih bersesuai dengan satu nama besar dalam perjuanagn gerakan Islam dan pendidikan Islam negara iaitu Allahyarham Prof. Zulkifli Muhammad, yang merupakan tokoh politik dan pendidikan Islam.

Beliau yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS pada 1956 dan Ahli Parlimen PAS Kawasan Bachok, Kelantan pada tahun 1959-1964 terkorban dalam kemalangan jalan raya yang ngeri. Sebagai tokoh pendidikan Islam, beliau telah mencadangkan dan dengan gigih mengusahakan penubuhan Kolej Islam Malaya 1953, juga sebagai pencetus idea penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (Nilam Puri) pada 1965.

Penubuhan KUIZM, menurut Dato' Mahfodz mempunyai beberapa objektif antaranya membuka peluang kepada masyarakat Malaysia untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan akidah supaya dapat menangkis segala salah faham terhadap Islam.

Selain itu, KUIZM juga bermatlamat melahirkan golongan intelektual dan profesional Islam yang boleh memimpin dan memberi sumbangan sebagai pendidik, pendakwah, pentadbir dan pengurus.

Kampus tetap KUIZM di Taman Melewar sedang giat dijalankan dan akan menelan belanja awal sebanyak RM1.5 juta. Pembinaanya termasuk asrama untuk penempatan pelajar teutamanya untuk pelajar perempuan.

Sehubungan itu, Dato' Mahfodz menyeru kepada mana-mana pihak yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan. Sumbangan wang boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam 14041010074783 atas nama Akademi Pendidikan Zulkifli Muhammad.

Menyentuh mengenai tenaga pengajar, Dato' Mahfodz berkata, mereka terdiri daripada pensyarah dari universiti tempatan dan akan diambil sama ada untuk sepenuh masa atau secara sambilan.

Setakat ini, KUIZM belum menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan bagi menunjukkan PAS juga mampu menubuhkan IPT sendiri.

"Institusi ini pun sama dengan universiti lain. Cuma buat permulaan ini kita belum ada buat hubungan dengan universiti lain kerana kita nak menunjukkan bahawa PAS boleh menubuhkan universiti.

“Mungkin selepas setahun atau dua tahun kita akan buat kerjasama dengan universiti lain khususnya yang ada pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya, dan lain-lain," katanya.

Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah Rektor KUIZM, Dr. Shahbudin Ngah dan Setiausaha Kerja MPPPK, Ustaz Wan Ahmad Rasyidi Wan Othman.

Wartawan: Hazayani Zakaria

Thursday, March 11, 2010

Pertubuhan Kelab Belia Zon 24 (KBZ24)....



assalamualaikum,


insya-allah kita sama-sama berkerjasama dgn kelab belia zon 24 bagi memperkasakan lagi aktiviti kemasyarakat terutamanya dikalangan belia & remaja.
gabungan kelab belia zon24 & kelab kawandidik diharapkan dapat memberikan sinar harapan utk belia & remaja disekitar zon24.insya-allah.

Isnin, 2010 Januari 18

Salam Perkenalan

Pengenalan

Pertubuhan Kelab Belia Zon 24 (KBZ24) telah ditubuhkan pada 29 April 2009. pada asalnya nama kelab ini adalah Pengerak Belia Tempatan Zon 24. Kelab ini diwujudkan atas dasar untuk memberi peluang kepada belia-belia Selangor untuk menjadikan pertubuhan ini Platform untuk mereka bergerak di dalam semua aktiviti yang bersifat bina insan, motivasi, kesukanan, kemasyarakatan, kerohanian yang boleh membina Rohani, Fizikal, dan Psikologi belia. Pertubuhan ini terbuka kepada seluruh belia-belia yang berada di sekitar bangi lama, Bandar Sri Putra Mahkota.

Alamat Bilik Gerakkan

Kelab Belia Putra Mahkota
Pengerak Belia Tempatan Zon 24
No 16/B, Jalan Seri Putra 1/5
Bandar Sri Putra,
43650 Bangi,
Selangor Darul Ehsan.


Kelab Belia Putra Mahkota Zon 24
Penggerak Belia Tempatan Zon 24
Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan

Email : belia.zon24@gmail.com


Ahli Jawatankuasa Kelab Belia Putra Mahkota Zon 24

Pengerusi : Hasbullah bin Othman
013-9464541

Tim.Pengerusi : Muhammad Amirul Mukminin bin Ayub
013-2008059
email: ama_kaizer85@yahoo.com.my

Setiausaha : Husaini bin Arshad
019-5659049
husaini_arshad@yahoo.com

Bendahari : Mohd Farid bin Hamid
013-6727827
albariti 1924@yahoo.com


0 ulasan


sumber : http://kelabbeliaputramahkota.blogspot.com

Monday, February 1, 2010

Kunjungan Syukur, Adik Ain Nur Safiya Selamat Menjalani Pembedahan

assalamualaikum,


anakmuda@bukit mahkota tidak dapat makluman berkaitan aktiviti ziarah YB ke bukit Mahkota.
kalau ada maklumat, nak juga hadir bersama-sama. Insya-allah, sekiranya ada kelapangan masa jom kita pergi ziarah adik Ain Nur Safiya...


sumber : Blog YB Dr Shafie:
Bukit Mahkota, 17 Safar = 01 Februari (Isnin):


Jika pertengahan bulan Disember 2009 lepas, ketika kami serombongan berkunjung ke rumah adik Ain Nur Safiya bt. Kamaruzzamin (3 ½ tahun) di Bukit Mahkota, anak ini berkeadaan lemah, muram, merengek, kelihatan pucat dan didukung ibunya. Namun, kunjungan kami pada malam ini berlainan sekali, anak ini begitu segar, berwajah ceria dan cergas. Ketibaan kami serombongan 15 orang pada jam 10.00 malam anak ini berada di halaman rumah bersama bapa dan ibunya. Anak ini menyambut kami, bersalam dan mencium tangan. Kami bersalam dengan bapanya yang begitu riang bersama isterinya. Riang kerana anak tunggalnya sihat dan riang kerana kami datang kali ini dengan menumpang gembira dan bersyukur bersama kepada Allah di atas pulihnya kesihatan Ain Nur Safiya.

Menceritakan ujian yang dilalui, En. Kamaruzzaman yang bekerja sebagai Tukang Masak bersama isterinya yang juga Tukang Masak di Golf Kelab Bukit Unggul, Jalan Dengkel (kini isterinya bertukar kerja di Cafetaria di Putrajaya), bahawa anak tunggalnya mengalami demam dan muntah-muntah. Mereka berdua menyangka demam biasa dan dibawa ke klinik swasta, tetapi selang beberapa hari anak itu demam dan muntah-muntah lagi dan dibawa ke klinik semula. Setelah pemeriksaan teliti dibuat, Ain Nur Safiya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan disahkan 'Jantung Berlubang'. Berita yang diterima ini amat merisaukan Encik Kamaruddin dan isterinya. Mereka berusaha untuk merawat anak mereka.


Mereka mendapat maklumat bahawa pihak Pakar di IJN bercadang untuk membedah bagi memperbaiki jantung Ain Nur Safiya secara laser, tetapi setelah pemeriksaan rapi dibuat, ternyata lubang agak besar sebesar wang shilling 10 sen dan tidak dapat dijalankan secara laser, tetapi memerlukan kepada pembedahan. Untuk pembedahan ini pihak IJN memberitahu memerlukan bayaran sebanyak RM25,000. "Jumlah ini amat besar bagi kami suami isteri dan di luar kemampuan kami," kata En. Kamaruzzaman. "Setelah berunding dan mendapat nasihat dari banyak pihak, kami dinasihati supaya membuat rayuan," tambah En. Kamaruzzaman dan rayuan dibuat oleh En. Kamaruzzaman.


Rayuan En. Kamaruzzaman diterima oleh pihak IJN dan kos pembedahan berkurang dan dikehendaki dilunaskan ialah sebanyak RM15,000. "Walaupun diturunkan kepada RM15,000 jumlah ini juga tidak mampu kami adakan," kata En. Kamaruzzaman. "Tetapi kami suami isteri tetap berikhtiar bagi menyelamatkan anak tunggal kesayangan kami," kata En. Kamaruzzaman. Atas simpati sahabat yang sama sekerja, termasuk En. Ari Krishnan yang hadir pada malam ini, mereka menganjurkan Tabung Derma bagi mendapatkan jumlah dana yang diperlukan. Kami mengejar masa, kerana tarikh Ain Nur Safiya perlu masuk IJN bagi pembedahan ialah pada 25 Disember 2009 dan tarikh pembedahan ialah dua hari berikutnya (27.12.2009).

Saudara Ari Krishnan sebagai Ketua Perpaduan Kaum India di Pekan Bangi yang sama setempat kerja dengan En. Kamaruzzaman mendekati ADUN Bangi bagi mendapat bantuan melengkapkan jumlah yang diperlukan yang masih belum cukup. Cadangan dari Saudara Ari diterima dan kami serombongan datang beberapa hari sebelum Ain Nur Safiya masuk ke IJN menyampaikan bantuan. Berkat doa semua, Adik Ain Nur Safiya dibedah pada 27.12. 2009. Alhamdulillah pembedahan berjalan dengan baik dan selamat. Menurut En. Kamaruzzaman penampal diambil dari organ dalaman Ain Nur Safiya. Dan beliau dibenarkan keluar pada 3 Januari 2010. Ain Nur Safiya akan dibawa untuk rawatan susulan sehingga kesan pembedahan itu benar-benar sembuh.

Berita gembira disampaikan kepada ADUN oleh Saudara Ari Krishna dan menyatakan ibu bapa Ain Nur Safiya berhasrat mengadakan majlis Doa Selamat dan Kesyukuran dan meninjau kemungkinan ADUN boleh datang atau tidak.


ADUN bersetuju hadir dengan pengiring Sdr. Azizi bersama Nada dan Nabilah dari Pejabat ADUN. Pada malam ini hadir bersama Tuan Haji Mazwan Naib YDP dan Ahli MPKj bagi Kawasan Pekan Bangi-Bandar Seri Putera dan Bukit Mahkota, hadir sama Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan, Saudara Abu Bakar AJK Kawasan, Saudara Marzuki Ketua Kampung Pekan Bangi dan AJK-AJKnya, ahli-ahli PAS Bandar Seri Putra-Bukit Mahkota dan lain-lain. Di rumah En. Kamaruzzaman kami mengadakan doa selamat dan kesejahteraan bagi keluarga En. Kamaruzzaman, diikuti jamuan secara sederhana sebelum kami pengunjung memohon diri.


Sekian.

Wednesday, January 20, 2010

Rang daftar pemilih tambahan suku tahun keempat 2009 dipamer

PUTRAJAYA 20 Jan. – Rang daftar pemilih tambahan bagi suku tahun keempat 2009 mula dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini sehingga Selasa minggu depan di 999 tempat pameran seluruh negara.

Ia akan dipamerkan di pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos berkomputer, kompleks atau pejabat kerajaan, pejabat daerah atau pejabat tanah, majlis daerah atau perbandaran, dewan serba guna, rukun tetangga, balai raya dan tempat-tempat lain.

SPR dalam satu kenyataan hari ini meminta semua warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi supaya untuk membuat semakan.

Mereka yang mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan lanjut boleh hadir sendiri ke ibu pejabat SPR atau menelefon 03-88856500, pejabat pilihan raya, atau dengan melayari laman web SPR www.spr.gov.my. – Bernama