Sunday, September 13, 2009

Sambut Aidilfitri cara Islam bukan ikut jahiliah

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir Batin
Daripada

Jawatankuasa Pemuda
PAS Bdr Bukit Mahkota,Bangi



Takzirah Oleh Abdul Ghani Shamsudin

(sumber : harakahdaily.net)

Setiap umat dan agama mempunyai hari besar atau hari perayaan mereka yang tersendiri. Ini berdasarkan rujukan dan dalil tertinggi yang mereka yakini . Umat Islam rujukan tertinggi mereka ialah Allah dan Rasul.


Mereka menyerahkan diri mereka kepada aturan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah dalam al Quran dan hadis. Mereka tidak mahu memandai-mandai membuat sesuatu tanpa merujuk kepada agama suci yang mereka anuti.

Sebab itu perayaan jahiliah dengan cara dan budaya yang mereka amalkan sebelum ini dilupuskan dan dihapuskan demi memberi laluan kepada bentuk hari raya baru yang ditetapkan oleh Allah dengan kaifiat dan ibadat yang tertentu.

Apa yang ditentukan oleh Allah diyakini jauh lebih baik dari apa yang dilakukan oleh ninik moyang silam yang berbuat berdasarkan pemikiran dan adat yang belum tentu baik dan absah.

Hari mengagungkan keturunan , kebangsaan, simbol-simbol jahiliah sudah berlalu. Begitu juga hari di mana manusia dengan berleluasa merekacipta hari raya bikinan mereka sendiri yang menghabiskan wang, masa dan sumber tenaga serta membazirkan wang ringgit rakyat sepatutnya ditamatkan. Umat Islam hidup dalam suasana baru iaitu suasana Islam , fitrah dan syariah demi meraih keberkahan dan rahmat Allah SWT.

Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah sampai ke Madinah ; ketika itu pendudukanya lumrah merayakan dua hari raya jahiliah. Mereka biasanya (menghabiskan masa) dengan bersukan (dan bersukaria).

Baginda kemudiannya berkata : (Ketahuilah) Bahawa Allah SWT telah menggantikan dua hari raya jahiliah itu dengan dua hariraya lain yang lebih baik lagi iaitu Hari raya Fitrah dan Hari raya Kurban. (hadis Sahih riwayat Ahmad, Abu Daud, Termizi dan Nasaaii)

Menjelang hari raya; khasnya pada malam satu Syawal atau malam Aidil Adha disunatkan bertakbir berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah 185: ..Agar kalian mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) di samping kalian mengagongkan Allah kerana mendapat petunjuk (daripada)Nya ,mudah-mudahan - kalian (semua) bersyukur.

Ketika itu kita disunatkan melafaz dan melaungkan takbir , di rumah, di masjid, di jalan-jalan , lorong dan di mana sahaja yang sesuai. Malam hari raya wajar dipenuhi dengan zikir, bacaan quran, tasbih, tahmid , takbir , doa , tazkirah dan sebagainya.

Takbir berlanjutan sampai lepas subuh sehinggalah imam naik ke atas mimbar. Takbir Aidil Adha pula terus boleh dikemundangkan lepas solat fardhu sampai lepas asar hari tasyriq yang ketiga.

Inilah amalan dan budaya yang perlu dikembangkan serta diperkasa dalam masyarakat kita pada malam hari raya atau dalam period dan masa raya. Selepas solat dan mendengar khutbah kita di galakkan berkunjungan dan menziarahi sanak saudara. Pulang pula sunat melalui jalan lain kalau boleh.

Walaupun Islam menggalakkan amalan ibadah ketika berhari raya namun ia tidak pula melarang anak anak muda atau orang ramai bersukaria. Mereka boleh bersukaria dengan menyanyikan nasyid yang sopan dan memuji Allah dan kegiatan santai yang halal dan menjaga batas larangan agama seperti yang ditegaskan oleh hadis riwayat Hisham Bin Urwah dari bapanya dari aisyah bahawa (pada suatu ketika ) Abu Bakar datang dan beliau bersama Rasulullah pada hari raya Fitrah atau Adha. Ketika itu ada dua orang gadis (amah) sedang menyanyi sambil memukul gendang . Abu Bakar menegur perbuatan kedua gadis itu. Tapi dijawab oleh Rasulullah: Biarkanlah kami ( mendengar lagu mereka) , sebab setiap kaum ada harirayanya dan hari ini adalah hariraya kita. (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Masalah kita kini ialah para pemimpin yang berkuasa khasnya yang menguasai media masa perdana tidak mahu menjadikan Islam sebenar sebagai dasar perjuangan mereka.

Mereka terus hidup dalam kepompong sekularisme dan liberalisme yang menekankan kebendaan dan hiburan untuk menghalang pengaruh Islam dan para pengembang Islam.

Walaupun mereka sudah masuk Islam tetapi mereka tidak mahu menerima perjuangan Islam yang menyeluruh yang merangkum aspek politik dan sebagainya.

Mereka menentang usaha untuk menegakkan kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang berasaskan syariat Islam , mereka menentang perjuangan politik Islam sebagaimana kumpulan kafir dan penjajah menentang perjuangan ini.

Untuk itu mereka menggunakan saluran hiburan, sukan, politik dan ekonomi dan sebagainya untuk mendangkalkan kefahaman dan pegangan umat terhadap agama.

Dalam masa yang sama mereka anti kepada tazkirah seperti tazkirah ramadan dan sebagainya demi mengelakkan terhakisnya pengaruh fahaman sekularisme mereka di kalangan rakyat.

Sekatan kepada ceramah , larangan kepada alim ulama untuk berceramah dalam masjid awam dikuatkuasakan kerana kepentingan sempit jangka pendek parti mereka.

Tapi mereka lupa tindakan berkenaan membawa padah jangka panjang kepada kepentingan umat pada keseluruhannya. Sebagaimana mereka telah menghakis kuasa politik orang Melayu sehingga orang Melayu sekarang sudah tidak mempunyai majoriti dua pertiga di dalam Parlimen tapi sekadar majoriti tipis atau mudah sahaja berbanding selepas merdeka dulu, dan usaha mereka menobatkan semula bahasa penjajah dalam mata pelajaran sains dan metametik dengan menyingkirkan Bahasa Melayu maka mereka juga turut menggalakan hiburan dan konsert demi menghakis jatidiri Islam di kalangan orang-orang muda dan dewasa. Perbuatan seperti ini secara tidak disedari seolah-olah mahu menyegerakan turunnya hukuman Allah kepada bangsa mereka.

Allah berfirman dalam Surah al-Naml ayat 82: �Apabila tiba masa berlakunya hukuman atas manusia (iaitu azab yang pasti menimpa) Kami tampilkan kepada mereka sejenis (peralatan bersuara seperti) binatang dari (perut) bumi yang menegaskan hakikat bahawa manusia memang tidak yakin (alpa) terhadap tanda-tanda (kebesaran) Kami. (Yakni menentang ajaran agama Islam)

Ayat ini seolah-olah mengungkapkan hakikat peranan tv dan radio hari ini. Alat yang komponennya banyak diperbuat daripada logam bumi ini kerap; malah sentiasa melekakan orang ramai dengan program yang disusun oleh manusia yang kufur terhadap nilai-nilai samawi dan tidak meyakini arahan Allah SWT.

Kealpaan dan kecuaian yang disebabkan oleh penyalahgunaan peralatan ini akan menjadi sebab kepada kemusnahan sesuatu umat di dunia ini. Inilah malapetaka serius yang sedang menunggu bangsa kita. Ipar duai dan saudara mara yang tergoda dengan persembahan yang ditayangkan dalam pelbagai saluran TV adalah mangsa kepada situasi dan kondisi malang ini .

Kita mesti bertindak bijak untuk menimbulkan kesedaran yang positif dikalangan saudara mara kita dengan menampilkan sesuatu amalan sunnah yang boleh menarik mereka dari terus terhenyak di kerusi empuk menonton perkara lagha yang dipaparkan oleh media perdana kita. Amalan membentuk kumpulan bertakbir melintasi rumah ke rumah mungkin suatu yang boleh mengelakkan mereka terus leka dan membuang masa.

Apa yang diperlukan kini ialah beramai-ramai menjayakan reformasi dan merubah kepimpinan dan pemerintahan yang ada sekarang kepada pemerintah yang lebih hampir dengan semangat keagamaan kita.

Siaran Radio atau TV tidak akan berubah dengan para pemimpin yang memang sukakan program lagha dan hiburan dan tidak mahu kembali kepada ajaran Islam yang hakiki.

Mari kita menyingsing lengan segera untuk membuat perubahan ini pada masa-masa yang akan datang. Allah Akbar , Allah Akbar , Allah Akbar walillahhilhamd. Selamat Hari raya Aidilfitri kepada semua para pembaca sekelian. - mr


No comments:

Post a Comment