Monday, June 8, 2009

Mini kabinet & bangi Bandar Ilmu..


Harakahdaily Thu Jun 04, 09 12:25:48 pm MYT
Kawasan Dewan Undangan Negeri Bangi diwakili Dr Shafie Abu Bakar. Menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi dan pusat latihan profesional, komuniti Bangi pastinya lain dari yang lain. Di sini terbentuknya 'mini kabinet' yang dipengerusikan Adun yang berperanan melicinkan lagi perkhidmatannya dengan rakyat. Bangi juga diisytiharkan sebagai 'Bandar Ilmu' sesuai dengan status sosialnya sebagai pusat pendidikan. Ikuti wawancara wartawan Harakah, Muhammad Arif Ismail dengan beliau.
Bangi adalah Dewan Undangan Negeri (Dun) yang pertama menubuhkan mini kabinet di Selangor bahkan di seluruh negara. Boleh Dr terangkan serba sedikit mengenai mini kabinet?
Saya fikir yang paling berbeza kita di Dun Bangi dengan Dun-dun lain adalah apa yang kita istilahkan sebagai Mini Kabinet Bangi. Itu yang tiada di tempat-tempat lain.
Kami mengambil contoh, campuran dan bukan mengambil seratus peratus daripada kabinet pemerintahan negara Malaysia dan negeri. Kita adunkan dan kita wujudkan apa yang dinamakan sebagai Mini Kabinet Bangi.
Sejak bila penubuhan mini kabinet dilakukan?
Ini telah diwujudkan sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor pada bulan Mac 2008 yang lepas dan telah berjalan selama setahun lebih.
Selepas kita mengadakan mesyuarat agung pada 19 April lalu di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), kita telah melihat semula dan memperkasakan serta memperkemaskan mini kabinet.
Ini berdasarkan kepada cadangan bahawa ahli-ahli mini kabinet mahu kabinet ini mencerminkan Exco di peringkat Kerajaan Negeri Selangor dan kita telah mengambil cadangan ini.
Tetapi dari segi praktisnya, sebenarnya kita mengambil konsep Exco di peringkat kerajaan negeri ini kerana sedikit dari segi kerusi dan juga bidang-bidang yang tidak sesuai diwujudkan pada peringkat kawasan contohnya pelancongan, kita tidak perlu ada di sini.
Begitu juga dengan sektor pertanian, kita tidak beri penekanan, tidak disebutlah sebagai kabinet, walaupun kita tidak mengabaikan perkara-perkara itu.
Baru-baru ini, kita telah mewujudkan satu jawatankuasa yang baru iaitu kabinet mini di mana telah diwujudkan oleh saya sendiri menjaga kesemua kabinet ini yang berada di bawah kuasa saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Ia merangkumi portfolio Hubungan Politik, Kemasyarakatan dan Hubungan Kaum; Agama, Masjid dan Surau. Kemudian bahagian penerangan iaitu Muslimat dan Keluarga; Dakwah, Tarbiah dan Amar Makruf Nahi Mungkar; Infrastruktur dan Pembangunan; Belia, Sukan dan Nisa'; Kebajikan, Pendidikan dan Latihan; Bandar Ilmu; Keselamatan dan Pengguna; Industri Usahawan dan Premis; Kesihatan dan Alam Sekitar; Media dan ICT; Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Persatuan.
Dahulu kita wujudkan 21 buah kerusi dalam kabinet mini dan kita padatkan kepada 15 buah kerusi sahaja. Jadi, kabinet mini ini akan menjadi lebih padat dan melancarkan sebarang program di Kawasan Dun.
Kalau dahulu, satu-satu 'kementerian' diketuai oleh seorang ketua. Dalam mini kabinet Bangi, sekarang kita wujudkan dua orang satu kabinet. Maknanya ada seorang ketua dan timbalan serta ketua kabinet itu akan melantik ahli jawatankuasanya sendiri.
Ini merupakan pangalaman kita yang lepas. Kalau kita lantik seorang ketua dan kebetulan dia tidak cergas dalam melakukan kerja, portfolionya akan lumpuh. Oleh sebab itulah, kita melantik dua orang dalam satu kabinet dengan harapan kalau salah seorang dari mereka tidak cergas, kita boleh gerakkan yang satu lagi.
Macam mana dengan perlantikan mini kabinet yang dilakukan oleh Dr?
Baru-baru ini kami telah mengadakan satu Majlis Pegukuhan daripada perlantikan ahli kabinet mini dengan mengadakan Hari Penyampaian Watikah Perlantikan kepada setiap ahli dalam mini kabinet yang dilantik pada 16 Mei lalu.
Ini menunjukan pengiktirafan dengan penyampaian surat perlantikan kemudian kita adakan majlis angkat sumpah jawatan tersebut secara beramai-ramai.
Kita juga mengadakan program motivasi kepada ahli-ahli kabinet yang baru dilantik oleh motivator yang terkenal iaitu Encik Ariffin Hassan dengan memberi ucapan kepimpinan berwibawa, organisasi cemerlang. Ini semua dipanggil sebagai salah satu usaha untuk mengukuhkan mini kabinet Dun Bangi.
Daripada sinilah kita akan menyusun. Sebenarnya setiap ahli mini kabinet diminta menyediakan skop dan ruang lingkup bidang kuasa masing-masing mengenai program yang akan dilakukan sepanjang tahun, dengan peruntukan yang telah diberikan kepada setiap program yang bakal dijalankan sebagai rangka kasar agar kita boleh membuat kawalan.
Selain itu, dengan adanya skop dan ruang lingkup program dan peruntukan, kita juga boleh melakukan proses 'semak dan imbang' apa-apa yang telah dijanjikan dalam manifesto pilihan raya sama ada telah ditunaikan atau sebaliknya.
Selepas ahli mini kabinet menyediakan skop dan ruang lingkup, kita akan mengadakan satu seminar bagi membincangkan pendekatan-pendekatan yang telah dilakukan oleh ahli mini kabinet sama ada pelaksanaan program itu telah dilaksanakan dengan sempurna ataupun tidak.
Dalam perbincangan inilah kita boleh tambah kekurangan dan pembaikan yang ada dalam setiap mini kabinet Dun Bangi. Sekarang kita sudah nampak hasilnya, semua kabinet sudah bergerak dengan sepatutnya. Jika dahulu tidak bergerak.
Sebagai contohnya pendidikan. Portfolio ini akan berperanan dari segi memberi tumpuan kepada aspek pendidikan setempat dari peringkat anak-anak sebelum memulakan alam persekolahan.
Kemudian kita memberi bimbingan kepada anak-anak di sekolah rendah dengan mengadakan kelas bimbingan dengan mengadakan Paksi di peringkat Dun Bangi dan Tuisyen percuma di peringkat negeri.
Manakala kebajikan pula akan mengariskan bidang-bidang kebajikan yang perlu dilaksanakan bagi memberi bantuan kepada orang miskin, ibu tunggal, anak-anak yang daif dan kesusahan akibat kemalangan serta warga emas.
Berapa peruntukan yang diperuntukkan kepada mini kabinet?
Infrastruktur merupakan portfolio mini kabinet yang paling tinggi menerima peruntukan. Jumlah keseluruhan peruntukan yang kita terima daripada kerajaan negeri adalah RM500,000.
Peruntukkan yang diberikan kepada infrastruktur sebanyak RM70,000, peruntukkan yang agak tertinggi. Manakala kepada kebajikan kita peruntukkan sebanyak RM40,000 dan yang lain-lain juga mendapat peruntukan tetapi jumlahnya tidak sama antara satu sama lain.
Tetapi ini tidak bermakna apa yang kita peruntukkan ini setakat itu sahaja, kalau jumlah yang diperuntukkan itu tidak mencukupi, kita boleh minta lagi.
Hasil dari penubuhan mini kabinet ini?
Kita lihat, ada kelincinan dari segi perjalanan dengan semua kaum dan khidmat masyarakat juga bertambah efisien. Hal ini kerana, kita sudah atur sedemikian rupa, ada peruntukan dan masyarakat dalam Dun ini sudah menerima kita dengan baik sebab kita tidak bercakap kosong.
Apabila kita mahu mengadakan program mesra rakyat, setakat ini sudah ada empat, lima tempat seperti di Bandar Baru Bangi, Sungai Tangkas, Bangi Lama dan lain-lain lagi. Ini bererti, setiap peruntukkan untuk program ini maksimum sebanyak RM10,000. Kadang-kadang tidak sampai RM10,000 digunakan kerana mahu berjimat.
Bagaimana dengan sambutan dan kerjasama Persatuan Penduduk kepada mini kabinet Dun Bangi?
Setakat ini, kerajasama dengan persatuan penduduk setempat tidak timbul masalah. Kerana kita turun dengan program dan peruntukan yang melibatkan semua lapisan masyarakat. Kita mengadakan program ini di hari yang tidak bekerja seperti hujung minggu.
Oleh itu, mereka dapat turun untuk memberi komitmen kepada setiap program yang diadakan oleh mini Kabinet Dun Bangi. Setiap program yang dilakukan akan berlaku luar gambaran kita, masyarakat setempat turun begitu ramai dari semua kaum.
Ini semua merupakan mekanisme yang melancarkan kegiatan kita. Selain daripada mini kabinet, kita juga mempunyai ramai kepakaran dalam bidang masing-masing. Apabila diadakan program sukan, akan dikelolakan oleh orang yang pakar dalam sukan dan seterusnya.
Kalau di peringkat kerajaan negeri mesyuarat exco diadakan pada hari Rabu setiap minggu. Bagaimana dengan mesyuarat mini kabinet ini?
Dalam Kabinet Bangi kita mengadakan mesyuarat selama tiga kali sebulan. Mesyuarat Dewan Harian dan mesyuarat kawasan itu diadakan setiap bulan.
Tetapi antara kabinet mini dengan MTD kita berselang bulan, bererti dua bulan sekali. Katakan ini bulan Mei, kita adakan mesyuarat kabinet mini dan bulan 6 kita akan adakan mesyuarat MTD.
Dalam mesyuarat kabinet mini, kita akan panggil ketua kampung, ahli Majlis Perbandaran yang kita lantik untuk bersama-sama bermesyuarat dan akan ditanya kegiatan apa yang pernah dilakukan kepada rakyat.
Bandar Baru Bangi merupakan Bandar Ilmu, boleh Dr jelaskan secara menyeluruh status ini?
Sememangnya, perkara ini merupakan salah satu daripada manifesto pilihan raya umum yang lalu. Kita mahu jadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar yang sejahtera, berilmu dan prihatin.
Oleh itu, setakat ini kita telah laksanakan manifesto ini. Misalnya dari segi pengisian untuk merealisasikan hasrat ini dengan mengadakan dan ia sangat wajar dilakukan di Bandar Bandar Baru Bangi kerana dikelilingi oleh berpuluh-puluh pusat pengajian tinggi awam dan swasta, pusat penyelidikan dan pusat latihan.
Tema 'Bangi Bandar Ilmu' telah dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 22 Jun 2008 yang lalu.
Hasil daripada itu, kita telah melakukan pelbagai kegiatan terutama sekali Pemikiran Bangi yang merupakan kegiatan yang bersifat seminar berhubungan dengan isu-isu semasa.
Setakat ini, kita telah mengadakan empat kali kegiatan Pemikiran Bangi yang membincangkan soal ekonomi, pendidikan, politik semasa dan konsep Bandar Baru Bangi sebagai 'Bandar Ilmu' daripada tokoh-tokoh politik yang terkenal yang mendapat sambutan yang baik dari masyarakat.
Satu lagi kegiatan yang diadakan bagi menyemarakan lagi konsep Bandar Ilmu ialah kita mengadakan 'Wadi Ilmu'. Wadi bermaksud lembah yang mempunyai air. Tempat yang dijadikan perbincangan Wadi Ilmu ini diadakan di Tasik Cempaka, Bangi.
Tempat tersebut merupakan tempat masyarakat tempatan bersenam dan beristirehat. Imej Tasik Cempaka telah buruk dengan pasangan bercanda, jadi kita nak membersihkan imej tasik tersebut kepada lebih baik. Jadi kita mengadakan Wadi Ilmu.
Kita adakan perbincangan santai di tepi tasik itu dan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad dengan mendirikan khemah dan berdiskusi dengan tajuk yang berkaitan isu semasa.

sumber : harakahdaily.net
-->

No comments:

Post a Comment