Friday, August 28, 2009

CHECKLIST AMALAN RAMADHAN


4.00 pagi


1.Bangun berdoa kepada ALLAH dengan doa:

“Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepadanyalah aku akan dikembalikan.”

2.Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu.
3.Mandi dan membersihkan diri.
4.Mengambil whudu' dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.


4.20 pagi

1.Solat sunat Taubat
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.

2.Solat sunat Tahajjud.
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.

3.Solat sunat Hajat
Rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali Selepas Al-Fatihah Rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.

4.Solat sunat Witir
Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, terima taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.


5.00 pagi

1.Makan sahur
2.Mengosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.


5.30 pagi


1.Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat. Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.

2.Elakkan tidur selepas Subuh, kerana waktu itu adalah waktu paling berkat untuk memulakan pekerjaan.


7.00 pagi

1.Membuat persiapan ke tempat kerja. Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan dengan berniat dengan niat yang baik-baik.

2.Mulakan kerja dengan Bismillah dan doa kepada ALLAH agar semua aktiviti kita diberkatiNYA, Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW samada menyebutnya atau di hati.

3.Banyakkan istighfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggung jawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang dilakukannya dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.


10.00 pagi

1.Sembahyang sunat Dhuha, Ia adalah sumber rezeki yang berkat kalau istiqamah diamalkan.

2.Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.
Contoh dosa-dosa : Mengumpat mengutuk,menyindir yang menyakitkan orang,bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan yang bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dengan kerja


12.45 tengah hari

1.Bersiap untuk solat Zohor.
2.Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah.
3.Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.


4.15 petang

1.Bersedia untuk solat Asar.
2.Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah.
3.Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA


5.30 petang

1.Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun Syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dalam diri kita!



6.30 petang

1.Memperbanyakkan doa sebelum berbuka kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.

2.Apabila masuk waktu Maghrib, bacalah doa berbuka :

“Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka.”

3.Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan jangan makan terlalu banyak.

4.Seeloknya setelah memakan kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan yang berat.


8.00 malam

1.Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Taraweh
2.Cuba pertahankan solat taraweh walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan)


11.00 malam

1.Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.
2.Berniatlah untuk puasa esok hari.
3.Tidur awal agar dapat bangun awal untuk beribadah.
4.Bacalah doa tidur :

"Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur."

Wednesday, August 26, 2009

KENYATAAN DEWAN PEMUDA PAS PAHANG BERHUBUNG ISU HUKUMAN SEBAT KE ATAS KARTIKA

Kenyataan Media Oleh DPPNP

26 OGOS 2009

Saya selaku mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dengan segala sukacitanya merujuk kepada polemik yang timbul hasil daripada keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman denda dan juga enam (6) kali sebatan terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno atas kesalahan meminum arak.

1.Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) melihat segala polemik, terutamanya bantahan dan kritikan yang dilemparkan oleh kalangan tertentu, seperti Majlis Peguam dan juga NGO-NGO wanita, adalah timbul disebabkan mereka melihat dan mengukur undang-undang jenayah Islam dari kacamata undang-undang sivil.

2.Inilah masalahnya apabila peruntukan-peruntuk an di dalam Kanun Acara Jenayah yang dikuatkuasakan di mahkamah sivil, dijadikan kayu pengukur dalam menilai perlaksanaan undang-undang jenayah Islam. Sedangkan adalah jelas dengan berdasarkan semangat dari Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, apa jua keputusan dan perjalanan prosiding di Mahkamah Syariah adalah tidak tertakluk kepada mahkamah sivil.

3.Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20hb Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa, iaitulah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pantadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan.

4.Bagi sesiapa yang menyatakan hukuman ini sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan atau mendikskriminasikan wanita seperti yang cuba dibayangkan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, maka pihak-pihak yang berkenaan bolehlah memberikan cadangan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang dikuasai Barisan Nasional supaya meminda atau memansuhkan peruntukan tersebut dengan cara membentangkan usul berkaitan dengannya di Dewan Undangan Negeri Pahang. Namun, selagi peruntukan berkaitan dengan keslahan meinum arak tersebut dan juga hukumannya tidak dipinda atau dimansuhkan oleh Dewan Undangan Negeri Pahang, maka peruntukan di dalam enakmen tersebut adalah kekal menjadi undang-undang yang sah yang boleh dikuatkuasakan.

5.Begitu juga dengan hujah yang dikemukakan oleh Majlis Peguam dan juga beberapa NGO, bahawa hukuman sebat ke atas Kartika adalah berlawanan dengan peruntukan di bawah Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah yang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita. Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa peruntukan Seksyen 289 (a) tersebut hanya terpakai dan berkuatkuasa di dalam kes jenayah yang dibawah bidangkuasa mahkamah sivil dan peruntukan tersebut tidal mengikat mahkamah syariah disebabkan peruntukan sedemikian tidak terdapat di dalam enakmen undang-undang Islam.

6.Kebimbangan pihak-pihak tertentu kononnya hukuman sebat ini adalah zalim serta tidak berperikemanusiaan adalah tidak berasas sama sekali memandangkan cara perlaksanaan (mode of execution) hukuman tersebut telah diperincikan dengan jelas sekali di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang antara lain memperuntukkan bahawa :

i. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

ii. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

iii. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.

iv. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.

v. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

vi. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk

vii. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

viii.Jika semasa perlaksanaan hukuman sebab itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.

ix. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

x. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.


7. Berdasarkan kepada peruntukan terperinci di dalam Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002 tersebut, jelas menunjukkan hukuman sebat yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah adalah berbeza dengan hukuman sebat di Mahkamah Sivil. Bahkan peruntukan Seksyen 125 di atas jauh lebih mendalam dan terperinci berbanding dengan peruntukan berkaitan dengan cara perlaksanaan hukuman sebat yang terdapat di dalam Kanun Acara Jenayah.

8. DPPNP selanjutnya juga berpendapat segala kritikan dan kecaman yang dihamburkan kepada Mahkamah Syariah Kuantan dan juga Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersabit dengan isu Kartika ini adalah lahir daripada sikap prejudis dan buruk sangka terhadap apa jua perkara yang berkait dengan perlaksanaan hukum Islam, meskipun hukuman yang dijatuhkan ke atas Kartika bukanlah hukuman yang menurut hukum Islam sebenar yang berkait dengan minum arak sebagaimana yang diperuntukkan di dalam hukum hudud. Sikap prejudis dan buruk sangka ini telah lama tertanam di dalam minda mereka yang anti kepada perlaksanaan hukum Islam ke atas umat Islam di negara ini dan pelbagai alasan dikemukakan bagi menggambarkan betapa zalim dan buruknya hukuman yang dibuat atas nama Islam.

9. Saranan Perdana Menteri supaya Kartika merayu di atas hukuman yang dijatuhkan adalah satu saranan yang melucukan dan ill advised. Bagaimana Perdana Menteri boleh memberikan saranan sedemikian sedangkan Kartika sendiri memilih untuk tidak memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah di atas hukuman yang dijatuhkan ke atasnya di dalam tempoh masa yang dibenarkan iaitulah dalam tempoh 14 hari dari tarikh hukuman dijatuhkan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah Pahang 2002. Kartika yang diwakili Peguam Syarie di Mahkamah Tinggi sudah tentulah mengetahui akan haknya untuk mengemukakan rayuan. Namun, jika beliau sendiri memutuskan untuk tidak merayu, maka kenapa Perdana Menteri pula yang sibuk-sibuk ?

10. Justeru, DPPNP dengan ini menyeru kepada Mahkamah Syariah dan Hakim-Hakim Syarie supaya menjalankan tugas dengan adil dan amanah serta tidak tunduk dengan ‘serangan psikologi’ yang dibuat oleh pihak-pihak yang memang sentiasa bersikap prejudis terhadap apa jua perkara yang berkait dengan perlaksanaan hukum Islam dengan memberikan pelbagai gambaran negatif. Pada masa yang sama, usaha dakwah bagi memberi penerangan berkaitan dengan hukum Islam harus terus dijalankan bagi mendidik masayarakat dan menghapuskan sebarang kesangsian dan pandangan buruk mereka terhadap undang-undang Islam.

11. DPPNP juga menyokong titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang yang menyeru semua pihak bersabar dan menyerahkan kes ini untuk diselesaikan oleh Mahkamah Syariah sendiri. Bagi DPPNP, ini adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan polemik yang timbul.


Yang benar,


ABDULLAH ABDUL KARIM
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang

Menolak Cadangan Majlis Peguam Supaya Hukuman Sebat Dihapuskan

Kenyataan Media Oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa

Gesaan Majlis Peguam kepada pihak kerajaan untuk menghapuskan hukuman sebat bagi apa jua kesalahan jenayah hendaklah ditolak. Hujah yang diberikan oleh Majlis Peguam untuk menyokong gesaannya itu dianggap tidak tepat dan tidak kukuh. Setiap hukuman yang telah ditetapkan dalam sistem perundangan negara buat masa ini adalah berasas dan ia merupakan satu hukuman bagi mengajar pesalah dan rakyat di negara ini.

Dalam Islam, hukuman yang hendak dilaksanakan mestilah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada manusia supaya tidak mengulangi jenayah-jenayah yang terkutuk samada oleh penjenayah mahupun rakyat umumnya. Malah, hukuman sebat ini disebut oleh Allah SWT dalam Al-Qur’an serta hadith-hadith yang muktabar dan pernah dilaksanakan oleh sahabat Rasulullah SAW sendiri.

Kita harus sedar bahawa peningkatan kadar jenayah saban tahun adalah salah satunya berpunca daripada hukuman yang dijalankan kurang memberikan kesan psikologi dan jiwa kepada pesalah dan masyarakat. Ia tidak menggerunkan kita. Oleh yang demikian, rakyat tidak takut untuk melakukan kesalahan dan jenayah.

Dalam kes Puan Kartika Sari Dewi Shukarnor, setelah Mahkamah Syari’ah membuat keputusan demikian, beliau redha dan mahu untuk dilaksanakan hukuman tersebut atas dasar keinsafan dan takut kepada hukuman Allah SWT di hari akhirat nanti. Malah, beliau juga menolak untuk menyaman mana-mana pihak dan mahu untuk menyegerakan hukuman tersebut. Saya berharap agar beliau benar-benar insaf dan menjadi insan yang bertaqwa.

Saya berpendapat agar Majlis Peguam meneliti saranannya itu. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersedia untuk bermuzakarah dengan mereka untuk berbincang mengenai perkara ini. Saya juga menyarankan agar pihak peguam syari’e di Malaysia dapat menjalankan aktiviti-aktiviti penerangan dan dialog bersama Majlis Peguam dan masyarakat supaya entiti dan sistem perundangan Syari’ah di Malaysia dimartabatkan.



YB Nasharudin Mat Isa

Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

“ISU HUKUMAN SEBAT KE ATAS ORANG ISLAM YANG MINUM ARAK”

Kenyataan Media Oleh Presiden PAS

Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing. Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar. Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 – 80 rotan jumlahnya. Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat. Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak. Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi. Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan. Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam. Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam. Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.
Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi !

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

http://presiden.pas.org.my

Isu Sebat : Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir

www.zaharuddin.net


araksebat.jpg

Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata :

"Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?
Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan."

Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya.

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA

Sebelum saya menghuraikan ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu.

Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-

* Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alcohol (arak).

* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alcohol (arak)

* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

(Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.

Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.

Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dalam lain-lain negara aktif arak.

HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )

Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث

Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK

Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawabnya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1) Hadis Nabi :

إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم

Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)

2. Hadis Nabi :

أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]

3. Hadis Nabi

كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين

Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]

4. Hadis Nabi :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين

Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4]

5. Athar sahabat

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5]

6. Hadis Nabi

أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال

Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6]

Jiak dikatakan, itu semua hadis, mana dalil al-Quran yang suruh, jawabnya adalah

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)

Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA

Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1) Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir.

Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud.

Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.

Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud.

c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam.

2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.

Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.

Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.

BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?

Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud

Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.

Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.

Jika Ta'zir

Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.

SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?

Pertama

Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tiada layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menysatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebagai yang lain. Kerana Apa adil?? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia. Individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri.

Kedua

Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kashian dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.

Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu [9] :-

  • Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.[10]
  • Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja.
  • Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dam pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan.
  • Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan.
  • Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.

Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.

Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.

Ketiga

Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?.

Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah yang reda dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.

Keempat

Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah' (contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?.

Kelima

Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w. Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.?

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan kepada beberapa jawapan kepada persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir.

  • DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak?

Ye, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih.

  • DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim.

  • DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Ini saya tidak pasti, tetapi sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semau hukum Islam sepatutnya dikanunkan.

Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi.

  • DR.M : Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

Lebih zalim yang mengkritik tanpa ilmu. Hukuman ini adalah adil atau tidak telah diulas di atas, dan ia juga tertakluk kepada penentuan sama ada hukuman sebat peminum arak adalah hudud atau takzir.

  • DR. M : Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

Oleh kerana dirujuk kepada hukum al-Quran dan Hadis nabi, hukuman tersbeut patut dijalankan. Kerna arak terbukti merosakkan umum dan bukan hanya individu terbabit semata-mata. Cuba lihat dan fahami statistik yang disertakan di atas.

  • DR. M : Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.

Boleh rujuk senarai kitab yang dirujuk di dalam nota kaki artikel ini. Itulah kitab-kitabnya. Jika nak lihat gambar kitabnya, saya sertakan salah sebuah darinya yang amat penting. Semoga dapat membacanya dengan faham.

AKHIRNYA DIHARAP TUN DR MAHATHIR SUDI UNTUK MEMBACA ULASAN DAN JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN-SOALAN BELIAU INI.

fathbari.jpg

Gambar : Kitab Fathul Bari Syarah Sohih al-Bukhari, Karangan Imam Ibn HajarAl-Asqolani.

Semoga beroleh manfaat, sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

5 Ramadhan 1430 H

26 Ogos 2009



[1] Sohih Muslim, mp 1706, jil 11, 216

[2] Riwayat Bukhari, no 6391, Jil 6, hlm 2487 ; Sohih Muslim, no 1706, Jil 11, hlm 211

[3] Dalam satu riwayat yang lain, Abd Rahman Auf berkata : "Seringan-ringan hudud adalah lapan puluh sebatan". Abd Rahman Auf mencadangkan agar diikut sebatan hudud yang paling ringan iaitu 80 sebatan bagi pesalah qazf. Lalu cadangan ABd Rahman tersebut, diterima Umar r.a.

[4] Sohih Muslim, no 1706, jil 11, hlm 215 ; Sunan Abu Daud, JIl 2, hlm 472

[5] Sohih Muslim, no 1707, Jil 11, hlm 216

[6] Sunan Al-Kubra, Al-Bayhaqi ; Al-Talkhis al-habir, IBn Hajar, no. 2118, jil 4, hlm 144,

[7] Rujuk hadis sohih riwayat al-Bukhari, no 6395, Jil 6, hlm 2488

[8] Tetapi mestilah pesalah memenuhi syarat-syarat berikut : 1) Islam 2) Sudah baligh dan beraqal 3) buat atas pilihan sendiri dan bukan dipaksa 4) Mengetahui berkenaan haramnya arak. 5) Minum arak dengan jelas sama ada melalui mulut atau suntikan dan sedar. 6) Minuman yang diminum itu memabukkan ( Rujuk MUghni al-Muhtaj, 4/178 ; AL-Muhazzab, As-Syirazi, 5/467 ; Al-Majmu' , An-Nawawi, 22/258)

[9] Al-Muhazzab, 5/458 ; Al-Majmu', An-Nawawi, 22/261 ; Al-Mu'tamad Inda As-Syafie, 5/228

[10] Dari hadis riwayat Abu Daud, 2/476

Friday, August 21, 2009

Seandainya Ramadhan ini Yang Terakhir Buat Ku


Buat semua sahabat2 yang mengenali diri ......

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya aku sibuk berzikir
tentu aku tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu. ..kepada- NYA Tuhan yang satu

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholat, aku kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan.. .sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan aku sia- siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan aku dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal aku dendang...bakal aku syairkan

andai aku tahu, ini Ramadhan terakhir
tentu malammu aku sibukkan dengan
bertarawih.. .berqiamullail. ..bertahajjud. ..
mengadu...merintih. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu aku tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu aku bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat aku
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati aku
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia ...meminta belas-NYA

"wahai tuhan , aku tak layak kesyurgamu ... namun tak pula aku sanggup ke Nerakamu ... kami lah hamba yang mengharap belas darimu "ya Allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami kedua ibubapa kami .dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia"
Amin.....

andai benar ini Ramadhan terakhir buat saya

MAAFKAN SEMUA KESALAHAN / KESILAPAN YANG PERNAH SAYA LAKUKAN

SEMOGA RAMADHAN TAHUN INI ADALAH YANG TERBAIK DARI RAMADHAN YANG TERDAHULU

Wednesday, August 19, 2009

Kejohanan Futsal ADUN Bangi 2009.





Seramai 256 pemain, 8 pengadil dan 8 urusetia terlibat dalam Kejohanan Futsal ADUN Bangi 2009. Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Portfolio Sukan, Belia dan Nisa dengan kerjasama Pemuda PAS Kawasan Serdang. Bertempat di Aktif Futsal, Seksyen 13 Bandar Baru Bangi.

Penganjur terpaksa menolak beberapa permohonan dari pasukan lain kerana kesuntukan masa. Dalam kejohanan tersebut pasukan dari Cheras Perdana (CCP) telah muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM 800 bersama pingat setelah mengalahkan pasukan dari UKM ATTOP dengan jaringan 2-0. Hadiah pemain terbaik perlawanan turut dimenangi dari pasukan yang sama. Pemain dari UKM dan Bukit Mahkota berkongsi kemenangan sebagai penjaring terbanyak bila masing-masing menjaring sebanyak 10 gol.

ADUN Bangi Dr. Shafie sempat meluangkan waktu untuk merasmikan kejohanan tersebut disamping berkenalan dengan para pemain sebelum bergegas ke Meru dan perlu pulang semula ke Bangi sebelum petang untuk program hi-tea. Hadiah disampaikan oleh Sdr. Anuar, Timbalan Ketua Pemuda PAS Serdang.

Monday, August 17, 2009

Janji dikota : Pelajar cemerlang dapat banglow RM130,000

Oleh Salmah Mat Husain, Foto Rizal Tahir
Mon | Aug 17, 09 | 6:12:41 pm MYT
PENGKALAN CHEPA, 17 Ogos: Mungkin Kelantan menjadi negeri pertama di negara ini yang menghadiahkan seorang pelajar cemerlang SPM sebuah banglow berharga RM130,000.

Iklan

Sebelum ini hadiah lumayan itu disebut kerajaan negeri memandangkan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18 merupakan pelajar cemerlang SPM peringkat negara.

Pencapaian pelajar terbabit iaitu 20A (19A1 dan 1A2) telah melonjatkan nama Kelantan dan Maahad Muhammadi Perempuan.

Dan hari ini replika kunci rumah banglow itu diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah kepada Nik Nur Madihah.

Hadiah berkenaan merupakan projek sosial Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui anak syarikatnya Binaraya dan Profil Impian yang berganding bahu membiayai rumah berkenaan dalam tempoh hanya dua bulan.

Rumah berkenaan dibina melalui Syarikat Mekar Mewah Sdn Bhd. Turut hadir pada majlis bersejarah itu Ketua Eksekutif PKINK, Haji Sabri Abdullah, Pengurus Besar Binaraya PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Abdul Rahman, serta beberapa pegawai kanan PKINK.

ImageNik Nur Madihah ditemani kedua ibu bapanya, Nik Mohd Kamil Husin dan Mariani Omar serta adiknya.

Rumah banglo setingkat itu terletak di PT 1352, Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa.

Selain itu, Afza Carpet dan Handycraft Sdn Bhd turut menghadiahkan beberapa kelengkapan termasuk karpet.

Mohd Amar berkata, rumah berkenaan diberikan sebagai melunaskan janji kerajaan negeri yang diumumkan Menteri Besar sebelum ini. _

20 Petua Murah Rezeki



Oleh :

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah (SWT) limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah (SWT) memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah (SWT) tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari
Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah (SWT) , yang menjadi sebab Allah (SWT) jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah (SWT) s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan
memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,
Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas
r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah (SWT) jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa
yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4.Sentiasa ingat Allah (SWT)

Banyak ingat Allah (SWT) buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah (SWT) beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah (SWT) . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (SWT) hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar
siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah
berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah (SWT) akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)


Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah (SWT) ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana
orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7.Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah (SWT) akan menunaikan
hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8.Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9.Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10.Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11.Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12.Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah (SWT) . Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah (SWT) akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al- Walid)

13.Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah (SWT) dan menjadi sebab Allah (SWT) buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah (SWT) azza wajalla kepada setiap hamba
sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah (SWT) membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah (SWT) menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad- Daruquthni dari Anas r.a.)

14.Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah (SWT)

15.Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah (SWT) dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16.Bersyukur kepada Allah (SWT)

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah (SWT) . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah (SWT) berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat- Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan kehidupan dan
murahkan rezeki. Salah satu nama Allah (SWT) , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah (SWT) ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah (SWT) , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis
menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18.Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah (SWT) , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah (SWT) suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19.Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah (SWT) berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah (SWT) beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim) Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang
boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang
baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20.Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah (SWT) . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah (SWT) , nescaya Allah (SWT) mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah (SWT) dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.) Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah (SWT) akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan
yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-
amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah (SWT) , lalu Allah (SWT) limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.