Wednesday, June 24, 2009

Aktiviti Pusat khidmat masyarakat Putra-Mahkota Jun 2009...

Assalamualaikum.

Sebagai makluman, berikut adalah beberapa aktiviti yg melibatkan PKM dan bakal berlangsung dlm waktu terdekat ini. Harap dapat diwar-warkan.

1. Gotong-royong perdana BBMahkota Sek 5

- Sabtu, 27 Julai 2009 @7:30 pagi di BBMahkota Sek 5
- Focal person: Zul Ambak @0173761584

Majlis perasmian oleh YB Adun, Dr Shafie adalah pada 8:30 pagi


2. Aktiviti kelab remaja 'kawan didik' - Smart ST & Silat

- Jumaat, 26 Julai 2009 @9:30 - 10:30 mlm di Pusat Khidmat Masyarakat, Bdr Seri Putra
- Focal person: Aidil @019 2734120 / 017 2882870

- Aktiviti: Smart ST & Silat yg membawa mesej 'Cegah dan Rawat sebelum kena' dan membentuk modal insan berbudaya (salah satu aktiviti teras kelab remaja)

- Fokus kepada anak2 remaja dan retua


3. Aktiviti kelab remaja 'kawan didik' - Smart Soccer

- Ahad, 28 Julai 2009 @7:15 - 8:30 pagi di padang bola (tepi kedai2 BBMahkota sek. 4)
- Focal person: Hamidon/Azarul @012 3367293 / 019 2647301

- Aktiviti: Smart soccer bagi membentuk budaya riadah sihat di kalangan remaja (salah satu aktiviti teras kelab remaja)

- Fokus kepada anak2 remaja dan retua


4. Ijtima' Ilmu - Program Bulanan (Details TBA)


Harap sahabat2 dpt mewar-warkan kepada rakan2 di sekitar untuk sama-sama meraikan dan mendapat manfaat dari program2 di atas

Sekian, harap maklum.

b/p PKM
-aidil-

Monday, June 22, 2009

Tidak ada lagi bincang kerajaan perpaduan - Presiden PAS



Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Mon | Jun 22, 09 | 3:02:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Hrkh) - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.




Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendieri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.

ImageTurut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, akatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

ImageMenyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya./wann_

Monday, June 15, 2009

Penjenamaan Semula Dakwah dan Imarah Masjid

Slide2

Sesuatu yang dilakukan, hanya berbekas dan berkesan apabila ia sudah menjadi tabiat dan kebiasaan. Melaziminya dari semasa ke semasa.

Namun, tatkala sesuatu itu menjadi kebiasaan, timbul pula kesan sampingan yang baru. Kebiasaan dilakukan secara ritual hingga hilang serinya. Hilang sense of purpose pada melakukan perkara itu. Lihat sahaja nasib yang menimpa sekumpulan manusia yang kebingungan memikirkan belenggu The Ashram Cat.

Justeru, penjenamaan semula atau rebranding, bukanlah pada mendatangkan benda baru tetapi lebih kepada suntikan nafas segar, khususnya untuk menangkis tanggapan stereotaip orang ramai berkenaan subjek tersebut. Itulah asas kepada tajuk PENJENAMAAN SEMULA DAKWAH DAN IMARAH MASJID yang menjadi tajuk ceramah saya di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, semalam.

UMAT DAKWAH

Slide3

Alhamdulillah.

Umat Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah umat dakwah. Umat terbaik dalam sejarah manusia, kerana komitmen mereka kepada tugasan yang sebelum ini menjadi agenda eksklusif para Rasul. Umat ini adalah umat dakwah.

Istimewanya menjadi umat dakwah, adalah kerana mereka melengkapi Sunnatullah di sisi Syariatullah. Seluruh penghuni alam, diciptakan oleh Allah sebagai interdependence, saling perlu memerlukan dan jelas kelihatan pada sinergi mereka di dalam ecosystem yang ada. Manusia sebagai sebahagian daripada penghuni alam ini, diberi pilihan sama ada mahu harmoni menjadi sebahagian daripada Sunnatullah, atau menjadi makhluk asing yang cuba bersikap berdiri sendiri, berasa tidak perlu kepada orang lain dan tidak diperlukan oleh orang lain lalu hidup secara nafsi nafsi.

“Kubur masing-masing,” adalah slogan kelompok manusia sebegini.

Jika sombongnya di tahap itu, pesan sahaja kepadanya, “mati esok pergi ke kubur sendiri, masuk ke liang sendiri dan kambus sendiri. Kami ada kerja lain yang perlu diberi perhatian!”

Slide4

Kerana sinergi 100, 000 orang pada menjadi nelayan, penjahit pukat, pembuat bot, penghasil minyak disel untuk enjin bot, pemandu lori dari pantai ke pasar borong, pembuat lori, penurap jalan, pesawah, pekerja kilang beras, dan sekalian yang terbabit dalam penghasilan minyak masak, bawang, asam jawa, cili, garam, gula dan segalanya, kita boleh menikmati sepinggan nasi berlauk ikan dengan hanya membayar RM4.90!

Andai manusia itu nafsi nafsi, bayangkan sahaja betapa sulitnya mahu menikmati hidangan yang sama hingga duit mungkin jatuh tiada harga.

Sekiranya kehidupan manusia memerlukan mereka untuk saling bantu membantu dalam mengisi KEPERLUAN hidup mereka, maka begitulah juga sebenarnya (bahkan lebih utama) untuk manusia saling bantu membantu dalam mengisi TUJUAN hidup mereka.

Di situlah rasionalnya DAKWAH.

Slide5

MENJELASKAN KERANGKA DAKWAH

Agar tidak berlaku pandangan yang caca merba tentang dakwah, hingga hilang hujung pangkal dalam menggarap pelbagai persoalan berkaitan dakwah, kerangka input-proses-output dicadangkan sebagai panduan.

Slide6

Input ialah persoalan yang berkaitan dengan paradigma, cara memandang dakwah. Juga perihal motif, bersangkut paut dengan niat. Semua ini penting sebagai titik tolak kepada hasrat seseorang bergiat di lapangan dakwah. Sama ada di dalam sebuah NGO, jawatankuasa masjid, sebuah kumpulan dakwah atau gerakan Islam, persoalannya adalah sama.

Semua harus bertitik tolak daripada asas yang betul.

Input yang betul tentang dakwah, akan banyak meluruskan perjalanan di dalam proses. Kumpulan yang bergiat di lapangan kebajikan, pendidikan, media, politik atau apa sahaja medan yang dipilih mengikut kemahiran dan keupayaan, mereka boleh saling melengkapkan, dan bukannya saling berperang meraikan perbezaan.

Semuanya demi hasil akhir yang mahu dicapai, iaitu membawa individu, keluarga, masyarakat, negara dan Ummah seluruhnya kepada tujuan hidup kita yang satu, mengabdikan diri kepada Allah, serta menjauhkan diri daripada segala pesaing Allah yang melampau bernama Taghoot.

NIAT

Slide7

“AMAL DINILAI BERDASARKAN NIAT,” besar sekali kedudukan Hadith ini. Ia diangkat menjadi muqaddimah kepada sejumlah besar kitab Hadith yang dikompilasikan oleh para ilmuwan Islam.

Kesan niat bukan hanya pada soal dosa atau pahala di Akhirat, malah sebelum itu, ia mempunyai pengaruh yang besar kepada sikap kita terhadap apa yang kita buat, termasuk dakwah.

Berdakwah kerana ikut-ikutan tidak ke mana.

Berdakwah kerana persekitaran, mudah mengundang putus asa. Persekitaran mungkin tidak pernah berubah malah mungkin menjadi semakin parah. Malaysia di era saya sebagai mad’u, lebih baik daripada Malaysia di era saya menjadi da’i.

Berdakwah kerana kewajipan, ia tanda penerimaan kepada suatu perintah. Tetapi melakukannya atas dasar tanggungjawab semata, memberikan tekanan dan menghilangkan keseronokan. Seumpama seorang yang bersolat, sebaik sahaja memberi salam, ungkapannya ialah “Alhamdulillah… lega dah habis sembahyang. Subuh lambat lagi!”

Lega kerana selesai, bukannya ghairah menyambut solat yang seterusnya.

Tatkala di zaman pelajar, kewajipan hanya empat. Kewajipan kepada ibu bapa, PTPTN, tunang dan dakwah. Mudah diuruskan. Tetapi semakin lama hidup kewajipan semakin bertambah. Tatkala hidup dikelilingi oleh 40 kewajipan, pasti sahaja kewajipan yang paling tidak popular ialah kewajipan dakwah.

Justeru motif melakukan dakwah, harus dicari sisi yang boleh menjadikannya inside-out. Kehebatan dan keghairahannya dirasa lantas sentiasa mahu menambah-nambah yang ’sunat’ setelah sempurna bahagian yang wajibnya.

MATLAMAT DAKWAH

Slide8

Ada umat yang sesat pada jalan penyembahan berhala.

Ada umat yang binasa pada amalan seks songsang.

Ada umat yang sengsara kerana penindasan ekonomi.

Namun di sepanjang sejarah, dengan segala kepincangan yang berubah dari semasa ke semasa, Allah Subhanahu wa Taala mendatangkan formula induk yang satu, menjadi intipati sekalian Nabi dan Rasul, seruan mereka adalah pada mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah… TUJUAN HIDUP mereka.

Ia kunci kepada segala.

Kehidupan tanpa tujuan membatalkan segala potensi manusia, menghilangkan harga diri mereka dan menghimpunkan 1001 sebab untuk mereka binasa sambil menikmati kebinasaan itu. Justeru perlulah para pendakwah berkreativiti dalam mengumpan manusia kepada berfikir tentang tujuan hidup mereka.

MANUSIA SEBAGAI KAUSA PRIMA

Slide9

Antara manusia dan masjid, penjenamaan semula banyak bergantung kepada perubahan yang bersangkutan dengan manusia. Manusia yang mengendalikan material, justeru naik turunnya potensi material pada kehidupan, akan berkadar terus dengan susut tambah kualiti yang ada pada manusia.

Manusia perlu mengubah manusia.

Perubahan bermula dengan mengubah diri sendiri. Fokus kepada apa yang paling boleh diubah, iaitu manusia yang 100% berada di bawah kawalan setiap individu, iaitu dirinya sendiri.

Slide10Proses mengubah manusia itu, yang seterusnya dianggap berkelayakan menjana kemakmuran masjid sebagai insitusi umat, adalah proses yang sedia ada di dalam Islam.

Slide11Pemakmur masjid itu hanya bisa memakmurkan masjid apabila pandangan hidupnya terbentuk daripada keyakinannya terhadap iman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Manusianya juga mementingkan hablun minaLlah melalui solat.

Manusianya juga mengutamakan hablun minannaas melalui zakat.

Segala cabaran yang mendatang pada menghalang proses merealisasikan sebuah masjid yang makmur, dibentengi oleh keberaniannya yang tidak takut melainkan kepada Allah.

Mudah-mudahan dengan acuan yang demikian, berolehlah mereka petunjuk dari Allah untuk diagih-agihkan kepada sekalian yang berkunjung ke rumah Allah.

HIKMAH MENTERJEMAHKAN DAKWAH

Slide13

Hikmah itu adalah ketepatan.

Menepatkan pengambilan, menepatkan pendekatan, dan menetapkan sasaran penyelesaian.

Di sinilah cabaran terbesar kepada proses dakwah. Hikmah di dalam dakwah memerlukan Imam, AJK Masjid, ahli jemaah, dan seterusnya setiap individu yang terpikul di atas bahu mereka kewajipan dakwah, untuk melapangkan dada dan meluaskan minda, membezakan di antara masalah yang kelihatan berbanding masalah yang sebenar. Masalah yang kelihatan perlu dikawal, namun masalah yang sebenar lebih memerlukan fokus perhatian.

Slide14

SARANAN

Kesimpulan kepada semua idea yang dikongsikan di bawah tajuk Penjenamaan Semula Dakwah dan Imarah Masjid, berikut adalah beberapa saranan saya untuk dinilai dan diperpanjangkan diskusi mengenainya oleh sekalian mereka yang berkapasiti untuk merealisasikannya.

Slide15MASJID MESRA REMAJA

Permulaan kepada langkah ini, adalah pada membentuk sikap positif orang-orang tua yang berada di masjid untuk menyapa dan bertanya khabar kepada anak-anak muda yang berkunjung. Kuasa kasih sayang masih belum mampu ditandingi oleh mana-mana kuasa lain. Rasa empati yang diperolehi oleh anak muda daripada sapaan orang tua berpangkat abang, bapa dan datuk kepada mereka, adalah sesuatu yang mudah diperolehi di gereja, tetapi jarang di masjid. Suatu tamparan buat kita semua.

Jika di gereja, paderi akan berdiri di pintu mengucapkan penghargaan kepada satu demi satu ‘jemaah’nya yang hadir. Di masjid kita, bisa sahaja orang yang keluar masuk masjid tidak pernah disedari oleh warga tetap masjid itu bermula daripada Imamnya hinggalah kepada jemaah di saf.

Seterusnya, adalah pada mengimbangkan di antara kuliah-kuliah yang dekat dengan selera orang tua, dengan kuliah-kuliah yang menawan hati anak muda. Sediakan juga perkhidmatan yang anak muda ‘mahu’, sebagai ‘umpan’ untuk mereka diberikan apa yang mereka ‘perlu’. Tuisyen, gelanggang sepakraga dan khidmat kaunseling adalah di antara perkhidmatan yang boleh dipertimbangkan.

Hubungan remaja dengan masjid, adalah pandangan tentang masa depan masjid itu, 10 tahun akan datang.

MASJID MESRA KANAK-KANAK

Perubahan kepada suasana masjid agar mesra kanak-kanak bermula dengan mengubah pandangan kita terhadap kanak-kanak. Melihat mereka sebagai separuh manusiawi yang tidak perlu difikirkan kehendak, keperluan, keinginan dan kecenderungan mereka, adalah permulaan kepada ‘diskriminasi’ masjid terhadap kelompok ini.

Terlalu banyak rakaman Sunnah tentang passion Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada kanak-kanak.

Ibu bapa harus diperingatkan tentang amalan sahabat yang tatkala membawa anak-anak mereka ke masjid, mereka juga membawa permainan agar anak-anak itu tadi boleh disibukkan dengan permainan tersebut tatkala solat atau kuliah pengajian berlangsung.

Adalah tidak masuk akal untuk ibu bapa, AJK Masjid atau penceramah untuk meletakkan expectation bahawa anak-anak boleh duduk diam mendengar ceramah seperti ibu bapa mereka. Justeru ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk membantu anak-anak duduk di dalam suasana masjid dengan ditemani oleh permainan-permainan yang sesuai (trompet semestinya tiada dalam senarai), atau buku-buku mewarna, bergantung kepada kecenderungan dan minat anak masing-masing.

Manakala di pihak masjid pula, andai berkapasiti, boleh diusahakan bilik permainan yang sesuai dan selamat untuk anak-anak yang mempunyai pembesar suara untuk ibu-ibu yang meneman anak di bilik itu dapat mengikuti kuliah yang disampaikan. Padang permainan mini juga bukanlah suatu alternatif yang keterlaluan untuk dipertimbangkan.

Persoalan khilaf fikah tentang kanak-kanak yang mahu menyertai solat mesti diselesaikan dengan menyediakan alternatif, dan bukan sama sekali mengharamkan anak-anak itu memijak sempadan-sempadan tertentu di dalam masjid. Mereka adalah pewaris masjid, bukan pengemis!

Namun, titik besarnya bermula pada meletakkan penghargaan yang tinggi kepada manusia bernama kanak-kanak.

MESRA OKU

OKU itu, selama mana mereka masih di lingkungan manusia mukallaf mempunyai hak yang mesti diberi perhatian oleh pihak masjid untuk keperluan mereka dibantu sebaik mungkin.

Untuk masjid-masjid besar bertingkat dua atau tiga, sudah tentu persoalan menyediakan lif, laluan kerusi roda dan yang seumpama dengannya mesti diberi keutamaan seawal penyediaan plan pembinaan.

Namun bagi masjid yang telah sedia ada, cukuplah dengan meringankan tangan untuk menghulurkan bantuan tatkala adanya pengunjung daripada kalangan OKU. Bermanis muka dan bersikap setara sama ada dengan OKU atau dengan sesiapa sahaja.

Tidak dilupakan, golongan OKU ini juga wajar diambil sebagai pekerja untuk tugasan-tugasan yang bersesuaian.

MESRA ‘PENCARI’ MUSLIM

Apa yang saya maksudkan dengan ‘pencari’ Muslim ini ialah individu-individu Muslim yang bukanlah merupakan pengunjung biasa ke masjid. Ada sesekali titik hidayah menjenguk hati mereka, membawa mereka ke masjid untuk mencari pedoman.

Justeru bagi Imam, lunakkan diri untuk mudah didekati. Seorang Imam mungkin berjaya melepasi barrier ini apabila selesai bersolat, menjadi kebiasaan untuk orang datang bertemu di sejadahnya untuk berbual dan bertanyakan sesuatu. Janganlah dihindarkan diri daripada kebiasaan ini kerana nilainya amat besar buat mereka yang sedang mencari ini.

Ketahuilah juga, tidak semua orang datang ke masjid untuk mencari bekalan minda berupa ilmu. Dalam suasana 1 daripada setiap 5 orang anggota masyarakat mengalami tekanan mental (statistik Kementerian Kesihatan), ramai yang datang ke masjid kerana mencari bekalan hati dan jiwa. Mereka memerlukan banyak pengisian yang boleh meluruskan attachment mereka dengan kehidupan, dengan agama, dengan Tuhan.

Seimbangkan semua ini.

Jangan nanti, ketenangan yang sepatutnya ditemui di rumah Allah Subhanahu wa Taala, hilang oleh perbahasan ilmu dan minda yang penuh sengketa khilaf yang tak berkesudahan, dan akhirnya ketenangan itu dikutip ’sang pencari’ dari majlis ajaran sesat.

MESRA ‘PENCARI’ NON MUSLIM

Cabaran ini amat besar.

Jika disingkap Sirah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, apatah lagi di era Makkah, bahagian dakwah baginda kepada non Muslim amat amat besar. Tetapi setelah lebih 50 tahun kaum itu berjiran dengan kita, penerimaan mereka terhadap Islam amat rendah.

Bukan sahaja pada mereka yang memilih untuk memeluk Islam, bahkan juga pada kefahaman mereka tentang Islam itu sendiri.

Pendekatan masjid bukanlah sentiasa menjurus kepada mahu mengIslamkan seseorang yang datang mencari tetapi juga pada peringkat asas iaitu memberikan penerangan yang betul tentang Islam.

Sulit sekali hal ini mahu diselesaikan, andaikata masjid melihat non Muslim dengan pandangan yang kotor, penuh prasangka hingga tiada rasa bertanggungjawab terhadap mereka. Jauh sekali akhlak seperti ini daripada ajaran Nabi.

Keharusan non Muslim masuk ke masjid adalah titik khilaf. Biar pun Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menerima sejumlah besar mad’u non Muslim baginda di dalam masjid, memberi izin kaum dari Thaif yang Nasrani untuk menumpang tinggal di masjid, meletakkan tawanan perang di dalam masjid, yang kesemua itu bertujuannya adalah untuk mendekatkan Islam dan Masjid dengan alam, titik khilaf fikah itu tidak dapat dinafikan wujudnya ia.

Kewujudkan titik khilaf itu diburukkan pula dengan kegagalan agamawan menyelesaikan keutamaan.

Masjid yang berkeras dengan larangan non Muslim masuk, tidak terlepas daripada kewajipan menyediakan dakwah kepada non Muslim. Jika masjid tidak dibenarkan masuk, WAJIB disediakan sudut, ruang pejabat, kaunter atau apa sahaja wasilah untuk tugas dakwah ini dilaksanakan.

Kecualilah larangan non Muslim masuk itu berpunca daripada masalah sikap, dan bukannya hukum. Lalu besarlah jawapan yang perlu disediakan di hadapan Allah atas tanggungjawab besar yang diabaikan ini.

DUA PENDEKATAN

Bagi non Muslim yang berkunjung ke masjid semata-mata mahu tahu tentang Islam dan berasa aman dengan mengetahuinya, pendekatan harus banyak difokuskan kepada menunjukkan mekanisma persamaan yang ada di dalam Islam dengan agama-agama yang lain.

Ditekankan bagaimana solat membentuk disiplin peribadi.

Bagaimana zakat berfungsi menjana keseimbangan sosial.

Bagaimana tudung berperanan membentuk peribadi yang rendah diri dan berkelakuan dengan batasan.

Hingga terserlah Islam sebagai proses membaikkan manusia dan membaikkan alam.

Akan tetapi, bagi non Muslim yang berkunjung ke masjid kerana sedang mencari kebenaran, sedang ragu-ragu dengan kepercayaannya, sedang berperang fikiran tentang jalan untuknya berhubung dengan Tuhan, maka pendekatan harus banyak difokuskan kepada menunjukkan titik perbezaan di antara Islam dengan kepercayaan yang lain.

Bantu mereka untuk membina hujah tentang kebenaran Islam, kebenaran al-Quran, kebenaran Muhammad dan seterusnya.

Mengimbangkan di antara dua pendekatan ini Insya Allah akan berhasil menjana sama ada pertambahan orang yang memeluk Islam, atau pertambahan orang yang memahami Islam tanpa memeluk Islam, yang kedua-duanya adalah baik untuk umat.

PENGURUSAN

Terakhir, segala hasrat untuk menyuntik pembaharuan kepada imej dakwah dan masjid, amat berkait rapat dengan pengurusan masjid yang baik.

Tanpa perlu meleret-leret dalam hal ini, cukuplah sekadar dipisahkan sentimen politik kepartian daripada pengurusan masjid, terbukalah jalan untuk mendapatkan yang terbaik bagi menguruskan rumah Allah ini.

PENGHARGAAN

Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada pihak Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, atas kesudian menjemput saya bersumbangsaran. Semoga perkongsian yang serba sederhana ini dapat membuka pintu-pintu kebaikan yang akhirnya bermatlamat membawa seramai mungkin manusia mengecap Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Pemuda : Tenaga Buruh PAS



Islam
Memimpin Perubahan

103 point melakar gagasan politik PAS mendepani cabaran dewasa kini dengan membuat penegasan berani dan meyakinkan bahawa Islam Memimpin Perubahan .

Umum mengetahui bahawa Islam adalah dasar perjuangan PAS . Ianya adalah suatu yang bukan sahaja termaktub di dalam perlembagaan parti bahkan ia adalah merupakan asas kenapa PAS ditubuhkan .

Berdiri tegak di atas dasar inilah PAS berjuang , berdakwah dan berpolitik . Dasar ini jua menjadi platform kepada PAS untuk mendidik dan membina aqidah ummah serta fikrah dan syakhsiyah mereka . Bahkan dasar inilah yang membekalkan kekuatan dan menunjuk jalan kepada PAS untuk merubah landskap sosial dan politik tanahair agar tunduk dan patuh kepada wahyu Akllah swt .

Saya tegaskan di sini bahawa gagasan Islam Memimpin Perubahan memerlukan tenaga pekerja [ buruh kasar ] bagi memastikan perubahan dapat dilakukan dan Islam memimpin perubahan tersebut . Justeru sifat Islam ialah memimpin bukan dipimpin , mengarah bukan diarah dan diikut bukan mengikut . Tentu sahaja ungkapan ialah islam di atas dan yang lainnya di bawah .

Tentu sahaja bagi menjayakan gagasan besar dan penting ini , Pemuda PAS sedia menjadi buruh kasar sebagai [ Rijal at Taghyir .] Pejuang Islam yang akan melakukan perubahan tersebut .

Jika Dato' Seri Presiden bertanya kepada kita hari ini :

من أنصاري إلى الله

Siapakah pembantuku untuk memperjuangkan Agama Allah swt .

Insyaallah , Pemuda - pemuda PAS tegak dan segak berdiri : lalu berkata :


نحن أنصار الله

Kamilah pembantu - pembantu [ pejuang ] Agama Allah swt

Harapan Dato' Seri Presiden dalam ucapan dasar yang dibentang , harapan para saff pimpinan dan harapan para perwakilan terhadap pemuda , suka saya tegaskan bahawa terlebih dahulu Rasulullah saw telah meletakkan harapannya yang tinggi kepada pemuda apabila baginda bersabda :


حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

Pemuda selalu mendokong perjuanganku
sementara aku sering disanggahi oleh orang - orang tua .

Kami Pemuda PAS akan mengulangi kenyataan Miqdad ibnu Amru Rha kepada Rasulullah saw ketika mereka [ Baginda Rasul saw dan para sahabat rhm ] berbincang untuk mengambil keputusan turun ke medan berjuang demi menegakkan agama Allah swt . :

يا رسول الله : إمض لما أمرك الله فنحن معك .
و الله لا نقول لك كما قالت بنوا اسرائيل لموسى :
إذهب أنت و ربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون
و لكن إذهب أنت و ربك فقاتلا إنا معاكما مقاتلون

Wahai Rasulullah saw : Berangkatlah ke medan juang sekira - kira Allah swt telah mengarahkanmu nescaya kami akan bersamu . Demi Allah ! kami tidak akan berkata sebagaimana kenyataan Bani Israel kepada Nabi Musa as. Pergilah kamu bersama Tuhanmu berperang sementara kami mahu kekal tinggal duduk di sini . Akan tetapi kami akan berkata , pergilah engkau bersama Tuhanmu berjuang sesungguhnya kami turut berjuang bersamamu.

Kami para Pemuda PAS berikrar :

  • Bahawa kami tidak akan menjatuhkan air muka Rasulullah saw .
  • Kami tidak akan mencemarkan wajah Al Mursyidul Am dan Presiden serta seluruh saf pimpinan .
  • Kami sekali - kali tidak akan menconteng arang kepada jamaah yang didokong ini .

Hari ini dalam sejarah apabila pemuda telah diberi " amanah Presiden " yang dinaskan dalam ucapan dasar agar :

Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan - kerajaan PAKATAN Rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat .

Insyaallah pemuda [ DPPP ] akan terus memelihara ketulenan / keabsahan manhaj perjuangan Islam yang kita dokong . Kita akan pastikan PAS akan kekal identiti dan jati diri PAS sebagai Harakah Islamiyah dari 3 orientasi utamanya iaitu Dakwah , Tarbiyyah , Siasah .


Sementara 3 identiti PAS turut dipertahankan :

Futuristik [ strategi dan persiapan PAS ]

Fundemental [ prinsip perjuangan yang sedang didokong ]

Kontemporary [ dalam pendekatan dan penampilan .]


Pemuda PAS juga insyaallah agar senantiasa segar dan tegar untuk menegur atau kritikan membina kepada saff pimpinan sebagaimana pemuda selamanya rendah diri senantiasa memerlukan tunjuk ajar daie , para ulamak dan saff kepimpinan .

Senarai barisan kepimpinan Pemuda PAS 2009-2011



Intan Abdullah
Tue | Jun 16, 09 | 12:55:05 pm MYT
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS yang baru, Ustaz Nasrudin Hj Hasan telah mengumumkan keseluruhan barisan kepimpinan pemuda PAS pusat sesi 2009-2011 ketika sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut kira-kira pukul 11.00 pagi tadi.

Berikut merupakan senarai tersebut:
Ketua : Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Timbalan Ketua : Ustaz Azman Shafawi Abd Rani
Naib Ketua : Ahmad Sabki Yusof
Setiausaha : Kamaruzaman Mohamad
Penolong Setiausaha : Khairul Faizi Ahmad Kamil
Bendahari : Mohd Adram Musa
Ketua Penerangan : Suhaizan Kaiat
Pengarah Pilihan Raya : YB Firdaus Jaafar
Ahli Jawatankuasa dipilih
1 Ustaz Riduan Mohd Nor
2 Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz
3 Ustaz Nazri Chik
4 YB Nasir Zakaria
5 Ustaz Kamal Shaari
6 Abdullah Karim
7 Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakub
Ahli Jawatankuasa dilantik
1 Zuraidin Abdullah
2 Sanusi Mohd Nor
3 Zamakhshari Muhammad
4 Anuar Ali
5 Yusainee Yahya
6 Mohd Sani Hamzan
7 Wan Sukhairi Abdullah
8 Dr. Zuhdi Marsuki
9 Mohd Nazri Din
10 Mohd Fuad Othman

sumber: harakahdaily.net

Monday, June 8, 2009

Mini kabinet & bangi Bandar Ilmu..


Harakahdaily Thu Jun 04, 09 12:25:48 pm MYT
Kawasan Dewan Undangan Negeri Bangi diwakili Dr Shafie Abu Bakar. Menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi dan pusat latihan profesional, komuniti Bangi pastinya lain dari yang lain. Di sini terbentuknya 'mini kabinet' yang dipengerusikan Adun yang berperanan melicinkan lagi perkhidmatannya dengan rakyat. Bangi juga diisytiharkan sebagai 'Bandar Ilmu' sesuai dengan status sosialnya sebagai pusat pendidikan. Ikuti wawancara wartawan Harakah, Muhammad Arif Ismail dengan beliau.
Bangi adalah Dewan Undangan Negeri (Dun) yang pertama menubuhkan mini kabinet di Selangor bahkan di seluruh negara. Boleh Dr terangkan serba sedikit mengenai mini kabinet?
Saya fikir yang paling berbeza kita di Dun Bangi dengan Dun-dun lain adalah apa yang kita istilahkan sebagai Mini Kabinet Bangi. Itu yang tiada di tempat-tempat lain.
Kami mengambil contoh, campuran dan bukan mengambil seratus peratus daripada kabinet pemerintahan negara Malaysia dan negeri. Kita adunkan dan kita wujudkan apa yang dinamakan sebagai Mini Kabinet Bangi.
Sejak bila penubuhan mini kabinet dilakukan?
Ini telah diwujudkan sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor pada bulan Mac 2008 yang lepas dan telah berjalan selama setahun lebih.
Selepas kita mengadakan mesyuarat agung pada 19 April lalu di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), kita telah melihat semula dan memperkasakan serta memperkemaskan mini kabinet.
Ini berdasarkan kepada cadangan bahawa ahli-ahli mini kabinet mahu kabinet ini mencerminkan Exco di peringkat Kerajaan Negeri Selangor dan kita telah mengambil cadangan ini.
Tetapi dari segi praktisnya, sebenarnya kita mengambil konsep Exco di peringkat kerajaan negeri ini kerana sedikit dari segi kerusi dan juga bidang-bidang yang tidak sesuai diwujudkan pada peringkat kawasan contohnya pelancongan, kita tidak perlu ada di sini.
Begitu juga dengan sektor pertanian, kita tidak beri penekanan, tidak disebutlah sebagai kabinet, walaupun kita tidak mengabaikan perkara-perkara itu.
Baru-baru ini, kita telah mewujudkan satu jawatankuasa yang baru iaitu kabinet mini di mana telah diwujudkan oleh saya sendiri menjaga kesemua kabinet ini yang berada di bawah kuasa saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Ia merangkumi portfolio Hubungan Politik, Kemasyarakatan dan Hubungan Kaum; Agama, Masjid dan Surau. Kemudian bahagian penerangan iaitu Muslimat dan Keluarga; Dakwah, Tarbiah dan Amar Makruf Nahi Mungkar; Infrastruktur dan Pembangunan; Belia, Sukan dan Nisa'; Kebajikan, Pendidikan dan Latihan; Bandar Ilmu; Keselamatan dan Pengguna; Industri Usahawan dan Premis; Kesihatan dan Alam Sekitar; Media dan ICT; Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Persatuan.
Dahulu kita wujudkan 21 buah kerusi dalam kabinet mini dan kita padatkan kepada 15 buah kerusi sahaja. Jadi, kabinet mini ini akan menjadi lebih padat dan melancarkan sebarang program di Kawasan Dun.
Kalau dahulu, satu-satu 'kementerian' diketuai oleh seorang ketua. Dalam mini kabinet Bangi, sekarang kita wujudkan dua orang satu kabinet. Maknanya ada seorang ketua dan timbalan serta ketua kabinet itu akan melantik ahli jawatankuasanya sendiri.
Ini merupakan pangalaman kita yang lepas. Kalau kita lantik seorang ketua dan kebetulan dia tidak cergas dalam melakukan kerja, portfolionya akan lumpuh. Oleh sebab itulah, kita melantik dua orang dalam satu kabinet dengan harapan kalau salah seorang dari mereka tidak cergas, kita boleh gerakkan yang satu lagi.
Macam mana dengan perlantikan mini kabinet yang dilakukan oleh Dr?
Baru-baru ini kami telah mengadakan satu Majlis Pegukuhan daripada perlantikan ahli kabinet mini dengan mengadakan Hari Penyampaian Watikah Perlantikan kepada setiap ahli dalam mini kabinet yang dilantik pada 16 Mei lalu.
Ini menunjukan pengiktirafan dengan penyampaian surat perlantikan kemudian kita adakan majlis angkat sumpah jawatan tersebut secara beramai-ramai.
Kita juga mengadakan program motivasi kepada ahli-ahli kabinet yang baru dilantik oleh motivator yang terkenal iaitu Encik Ariffin Hassan dengan memberi ucapan kepimpinan berwibawa, organisasi cemerlang. Ini semua dipanggil sebagai salah satu usaha untuk mengukuhkan mini kabinet Dun Bangi.
Daripada sinilah kita akan menyusun. Sebenarnya setiap ahli mini kabinet diminta menyediakan skop dan ruang lingkup bidang kuasa masing-masing mengenai program yang akan dilakukan sepanjang tahun, dengan peruntukan yang telah diberikan kepada setiap program yang bakal dijalankan sebagai rangka kasar agar kita boleh membuat kawalan.
Selain itu, dengan adanya skop dan ruang lingkup program dan peruntukan, kita juga boleh melakukan proses 'semak dan imbang' apa-apa yang telah dijanjikan dalam manifesto pilihan raya sama ada telah ditunaikan atau sebaliknya.
Selepas ahli mini kabinet menyediakan skop dan ruang lingkup, kita akan mengadakan satu seminar bagi membincangkan pendekatan-pendekatan yang telah dilakukan oleh ahli mini kabinet sama ada pelaksanaan program itu telah dilaksanakan dengan sempurna ataupun tidak.
Dalam perbincangan inilah kita boleh tambah kekurangan dan pembaikan yang ada dalam setiap mini kabinet Dun Bangi. Sekarang kita sudah nampak hasilnya, semua kabinet sudah bergerak dengan sepatutnya. Jika dahulu tidak bergerak.
Sebagai contohnya pendidikan. Portfolio ini akan berperanan dari segi memberi tumpuan kepada aspek pendidikan setempat dari peringkat anak-anak sebelum memulakan alam persekolahan.
Kemudian kita memberi bimbingan kepada anak-anak di sekolah rendah dengan mengadakan kelas bimbingan dengan mengadakan Paksi di peringkat Dun Bangi dan Tuisyen percuma di peringkat negeri.
Manakala kebajikan pula akan mengariskan bidang-bidang kebajikan yang perlu dilaksanakan bagi memberi bantuan kepada orang miskin, ibu tunggal, anak-anak yang daif dan kesusahan akibat kemalangan serta warga emas.
Berapa peruntukan yang diperuntukkan kepada mini kabinet?
Infrastruktur merupakan portfolio mini kabinet yang paling tinggi menerima peruntukan. Jumlah keseluruhan peruntukan yang kita terima daripada kerajaan negeri adalah RM500,000.
Peruntukkan yang diberikan kepada infrastruktur sebanyak RM70,000, peruntukkan yang agak tertinggi. Manakala kepada kebajikan kita peruntukkan sebanyak RM40,000 dan yang lain-lain juga mendapat peruntukan tetapi jumlahnya tidak sama antara satu sama lain.
Tetapi ini tidak bermakna apa yang kita peruntukkan ini setakat itu sahaja, kalau jumlah yang diperuntukkan itu tidak mencukupi, kita boleh minta lagi.
Hasil dari penubuhan mini kabinet ini?
Kita lihat, ada kelincinan dari segi perjalanan dengan semua kaum dan khidmat masyarakat juga bertambah efisien. Hal ini kerana, kita sudah atur sedemikian rupa, ada peruntukan dan masyarakat dalam Dun ini sudah menerima kita dengan baik sebab kita tidak bercakap kosong.
Apabila kita mahu mengadakan program mesra rakyat, setakat ini sudah ada empat, lima tempat seperti di Bandar Baru Bangi, Sungai Tangkas, Bangi Lama dan lain-lain lagi. Ini bererti, setiap peruntukkan untuk program ini maksimum sebanyak RM10,000. Kadang-kadang tidak sampai RM10,000 digunakan kerana mahu berjimat.
Bagaimana dengan sambutan dan kerjasama Persatuan Penduduk kepada mini kabinet Dun Bangi?
Setakat ini, kerajasama dengan persatuan penduduk setempat tidak timbul masalah. Kerana kita turun dengan program dan peruntukan yang melibatkan semua lapisan masyarakat. Kita mengadakan program ini di hari yang tidak bekerja seperti hujung minggu.
Oleh itu, mereka dapat turun untuk memberi komitmen kepada setiap program yang diadakan oleh mini Kabinet Dun Bangi. Setiap program yang dilakukan akan berlaku luar gambaran kita, masyarakat setempat turun begitu ramai dari semua kaum.
Ini semua merupakan mekanisme yang melancarkan kegiatan kita. Selain daripada mini kabinet, kita juga mempunyai ramai kepakaran dalam bidang masing-masing. Apabila diadakan program sukan, akan dikelolakan oleh orang yang pakar dalam sukan dan seterusnya.
Kalau di peringkat kerajaan negeri mesyuarat exco diadakan pada hari Rabu setiap minggu. Bagaimana dengan mesyuarat mini kabinet ini?
Dalam Kabinet Bangi kita mengadakan mesyuarat selama tiga kali sebulan. Mesyuarat Dewan Harian dan mesyuarat kawasan itu diadakan setiap bulan.
Tetapi antara kabinet mini dengan MTD kita berselang bulan, bererti dua bulan sekali. Katakan ini bulan Mei, kita adakan mesyuarat kabinet mini dan bulan 6 kita akan adakan mesyuarat MTD.
Dalam mesyuarat kabinet mini, kita akan panggil ketua kampung, ahli Majlis Perbandaran yang kita lantik untuk bersama-sama bermesyuarat dan akan ditanya kegiatan apa yang pernah dilakukan kepada rakyat.
Bandar Baru Bangi merupakan Bandar Ilmu, boleh Dr jelaskan secara menyeluruh status ini?
Sememangnya, perkara ini merupakan salah satu daripada manifesto pilihan raya umum yang lalu. Kita mahu jadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar yang sejahtera, berilmu dan prihatin.
Oleh itu, setakat ini kita telah laksanakan manifesto ini. Misalnya dari segi pengisian untuk merealisasikan hasrat ini dengan mengadakan dan ia sangat wajar dilakukan di Bandar Bandar Baru Bangi kerana dikelilingi oleh berpuluh-puluh pusat pengajian tinggi awam dan swasta, pusat penyelidikan dan pusat latihan.
Tema 'Bangi Bandar Ilmu' telah dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 22 Jun 2008 yang lalu.
Hasil daripada itu, kita telah melakukan pelbagai kegiatan terutama sekali Pemikiran Bangi yang merupakan kegiatan yang bersifat seminar berhubungan dengan isu-isu semasa.
Setakat ini, kita telah mengadakan empat kali kegiatan Pemikiran Bangi yang membincangkan soal ekonomi, pendidikan, politik semasa dan konsep Bandar Baru Bangi sebagai 'Bandar Ilmu' daripada tokoh-tokoh politik yang terkenal yang mendapat sambutan yang baik dari masyarakat.
Satu lagi kegiatan yang diadakan bagi menyemarakan lagi konsep Bandar Ilmu ialah kita mengadakan 'Wadi Ilmu'. Wadi bermaksud lembah yang mempunyai air. Tempat yang dijadikan perbincangan Wadi Ilmu ini diadakan di Tasik Cempaka, Bangi.
Tempat tersebut merupakan tempat masyarakat tempatan bersenam dan beristirehat. Imej Tasik Cempaka telah buruk dengan pasangan bercanda, jadi kita nak membersihkan imej tasik tersebut kepada lebih baik. Jadi kita mengadakan Wadi Ilmu.
Kita adakan perbincangan santai di tepi tasik itu dan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad dengan mendirikan khemah dan berdiskusi dengan tajuk yang berkaitan isu semasa.

sumber : harakahdaily.net
-->

Wednesday, June 3, 2009

UCAPAN PERASMIAN MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS PUSAT KALI KE-55

Ucapan Perasmian Pemuda PAS oleh Timbalan Presiden PAS


Iklan

TIMBALAN PRESIDEN PAS NASHARUDIN MAT ISA

Para Muktamirin yang dikasihi sekalian,

Marilah sama-sama kita renungi Kalamu'Llah Subhanahu wa Ta'ala yang telah berfirman di dalam al-Qur'an ayat 102-103, Surah Ali Imran : Wahai Orang orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar benar takwa kepadaNya, dan janganlah kamu mati selain dalam keadaan beragama Islam. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni�mat Allah kepada mu ketika kamu dahulu (sewaktu jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni'mat Allah orang-orang yang bersaudara, dan kamu telah berada ditepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.

Begitulah juga, Allah SWT telah berpesan kepada kita dalam ayat ke-55 dan 56, Surah al Maidah "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasulnya dan orang orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasulnya dan orang orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang."

Kedua-dua ayat ini mengandungi maksud yang tersirat dan cukup mendalam. Ia sesuai dijadikan sebagai elemen-elemen yang melengkapi maksud wehdah (penyatuan), mahabbah (kasih sayang) dan ukhkuwah (persaudaraan) yang menjadi teras kepada kejayaan Islam dan jamaah.

Dalam hal ini teringat kita mutiara pesanan Al-Marhum Asy-Syaikh Mustafa Masyhur dalam tinta emasnya yang amat kita kenali, Tariqud-Da'wah bila mana beliau berkata:

"Jalan dakwah adalah jalan yang satu. Di atas jalan inilah RasuluLlah SAW dan para sahabat baginda RA berjalan sebelumnya. Demikianlah juga kita dan pendukung dakwah berjalan dengan Tawfiq daripada Allah SWT. Kita dan mereka akan berjalan berbekalkan iman, �amal, mahabbah dan ukhuwwah. RasuluLlah SAW menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar cinta dan ukhuwwah. Maka berpadulah ikatan iman dan kekuatan �aqidah dengan penyatuan. Jadilah jamaah mereka sebagai jamaah contoh. KalimahNya mesti lahir dan dakwahnya mesti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini."

Saudara saudara sekalian

Salah satu aspek terpenting dalam 'Amal Jama'iyy yang dipegang oleh PAS yang menjadikan ia berbeza daripada parti politik lainnya, ialah amalan syura. Sesungguhnya peranan syura yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam surah Ali �Imran: 159 merupakan panduan yang amat jelas dan pengawas kepada perjalanan dan hala tuju PAS. Amalan syura ini telah kita warisi daripada zaman Rasulullah SAW lagi dalam banyak suasana yang telah baginda contohkan.

Oleh itu, kita tidak boleh berganjak daripada Syura. Adalah menjadi kewajiban setiap pimpinan dan ahli mengikat dengan keputusan Syura Jamaah walaupun dia mempunyai pandangannya yang tersendiri. Pandangan sendirinya itu apabila telah dicurahkan dalam Syura dan apabila Syura mengambil keputusan, maka keputusan Syura ilzam ke atasnya. Pelaksanaan syura yang meluas, menurut sebahagian besar pimpinan harakiyy, adalah wajib dan sebahagian fuqaha� berpendapat pula Amir Syura dan Amir Jamaah mesti ilzam dengan keputusan syura. Kaedah pelaksanaan syura ini pula adalah berdasarkan prinsip pendapat yang paling kuat (al-ra�yu al-rajih) di kalangan mereka yang bersyura. Kaedah ini dipegang berdasarkan alasan bahawa salah satu nas yang berhubungan dengan syura meletakkan ia bersampingan dua rukun Islam yang utama, iaitu solat dan zakat sehingga memberikan konotasi bahawa pentingnya syura seakan-akan syarat asasi sebagai seorang Muslim-Mukmin apatah lagi bagi kita sebuah organisasi politik yang sedang memikul amanah memimpin ummah.

Firmanu'Llahu Ta�ala fi kitabihi�l-Karim: (59) "Sesungguhnya Allah memerintah kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia, hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran sebaik-baiknya pada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar dan meliha"

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan ulil 'amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan �ulama). Maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (Al-Qur�an) dan Rasul (As-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan seelok-elok penyelesaiannya"

Kepimpinan dalam Islam merupakan sunnah mulia Rasulullah SAW. Meskipun begitu, ia juga merupakan suatu amanah yang cukup besar. Bukankah atas dasar itulah, Rasulullah SAW menolak permintaan �Abdul Rahman bin Samurah bilamana baginda SAW dengan tegas bersabda (maksudnya): "Hai Abdul Rahman! Janganlah kamu meminta kepimpinan (al-Imarah) kerana kalau kamu diberikannya padahal kamu tidak memintanya, maka kamu akan diberi pertolongan; tetapi jika kamu diberikan lantaran kamu memintanya, kamu akan dibebankan.�

Sesungguhnya kepimpinan adalah amanah berat yang didokong oleh seluruh pimpinan dan ahli jamaah supaya mengurus politik dan pentadbiran negara dengan cara yang betul lagi benar, memimpin umat dan berpegang teguh dengan tali Allah meskipun diuji dengan pelbagai mehnah (tribulasi) yang sukar diduga. Pemimpin mempunyai tanggungjawab yang besar. Kepimpinan adalah seni untuk membimbing manusia ke arah destinasi objektif (hadaf) yang telah ditetapkan. PAS mempunyai produk Islam untuk disampaikan. Ia akan terganggu sekiranya pemimpin tidak bijak dalam meyakini rakyat atau pengikut untuk menerima prinsip-prinsip Islam.

Saya tertarik dengan sebuah buku yang ditulis oleh John C. Maxwell yang bertajuk, The 21 Irrefutable Laws of Leadership, beliau menyatakan bahawa: "The second principle of law is the Law of Navigation. Anyone can steer the ship, but it takes a leader to chart the course".

Ilmu pengurusan yang dinukil oleh penulis Barat juga perlu diolah supaya ia mampu melengkapkan kepimpinan pemuda dengan kompetensi kepimpinan yang tinggi.

Keimanan yang terpasak dalam jiwa pejuang-pejuang agama telah mengikat jasad dan roh untuk mengendalikan urusan politik secara ibadah serta menyeru rakyat supaya ta'abud li'Llahi Ta�ala. Kita sama sekali tidak akan berganjak untuk bersama-sama dengan Islam walau dalam keadaan apa jua sekalipun. Sebagaimana sebuah hadith Rasulullah SAW,

"Ingatlah bahawa lingkaran Islam itu adalah bulat, berputarlah kamu bersama Islam di mana sahaja ia berputar".

Sehubungan dengan itu, saya ambil kesempatan disini untuk sekelian kalinya menegaskan bahawa pemimpin tertinggi parti tidak pernah punya sebarang niat atau perancangan untuk masuk Umno atau BN. Dan saya amat percaya adik adik saya di dalam Dewan Pemuda PAS bersama sama dalam agenda ini. Akan kita pertahankan parti ini dari sebarang unsur yang cuba merobek dan mengganggu keutuhan jamaah kita.

Islam yang kita perjuangkan ini diambil dari nas Al Quran dan Al Sunnah. Al Quran dan Al Sunnah lah yang mengajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula untuk berdamai.

Sekali saya menegaskan bahawa prinsip dan dasar Islam yang kita perjuangkan akan sekali kali tidak berganjak, namun kaedah dan uslub boleh berubah. Akan kita perkukuhkan saf kita sendiri dan juga saf Pakatan Rakyat yang telah kita ijtihadkan sebagai wadah politik kita untuk berdepan dengan UMNO dan BN.

Allah SWT akan memilih golongan-golongan HizbuLlah, AnsaruLlah dan Hawariyyun ini untuk benar-benar melunaskan janji mereka. Kita mesti memastikan bahawa jejak langkah kita tidak akan berpaling daripada landasan perjuangan yang suci murni ini. Sebaliknya, tanamkanlah rasa ghairah untuk memenangkan Islam dari segenap juzuk.

Dan insya' Allah PAS boleh dan Pemuda PASlah yang akan berada di barisan hadapannya! Sekalipun tugasan politik dan kebajikan kita terlalu banyak, maka jangan lupa bahawasanya ia adalah sebahagian daripada ruang lingkup dakwah yang luas terbentang dan kita sebagai da'i yang bertanggungjawab ke atas mad�u. Bila disebut tentang madú pula, semua yang ada diluar sana adalah madú kita. Akan terus kita ajak mereka untuk bersama dengan kita, berbincang, berdialog tanpa mengira siapa mereka dan ideologi politik atau kefahaman apa pun yang mereka miliki.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat ke-55 dan 56.

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa, dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhakan untuk mereka, dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan ingatlah sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. Dan dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat. Dan taatlah kepada Rasulullah SAW supaya kamu beroleh rahmat"

Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat ini telah berkata, "Ini adalah janji Allah kepada Rasulullah SAW bahawa Allah akan menjadikan umatnya sebagai para khalifah di muka bumi, iaitu sebagai imam dan pemimpin bagi umat manusia. Dengan mereka, negara akan diislahkan dan manusia akan tunduk kepada mereka, juga akan diubah rasa ketakutan kepada keamanan dan pemerintahan akan berada di tangan mereka."

Penentangan zaman-berzaman terhadap kebenaran dan keadilan Islam sentiasa dilancarkan oleh musuh-musuh Islam serta golongan munafiq. Tidak cukup dengan serangan militer, mereka melancarkan serangan-serangan pemikiran, budaya dan ekonomi sehingga melumpuhkan kekuatan umat Islam terutamanya golongan muda. Justeru, bagi menangani apa jua cabaran musuh Islam, hanya tarbiyyah Islamiyyah yang mampu menjadi benteng untuk menepis serangan-serangan itu. Tarbiyyah Islamiyyah berperanan dalam membentuk syakhsiyyah Muslim sejati dan menguatkan pergantungan atau �aqidah kita kepada Yang Maha Berkuasa.

PAS mestilah menekuni pemasalahan dan kesulitan yang dialami pada hari ini. Kebejatan peribadi manusia, krisis ekonomi dan impaknya kepada dunia, ketidakstabilan politik serta penindasan terhadap Islam mestilah diselesaikan dengan cara Islam. Maka, bagi menyediakan penyelesaian kepada masalah-masalah sejagat ini, gerakan Islam mesti memperbaharui mekanisme dan pendekatan tarbiyyah supaya sesuai dengan perkembangan semasa. Walaupun begitu, ia mestilah berpegang teguh dengan prinsip dan dasar Islam sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 256;

"Sesiapa yang tidak mempercayai taghut, dan beriman kepada Allah SWT, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali (agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui"

Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan dalam bukunya yang bertajuk, Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi telah mencatatkan peringatan penting untuk kader-kader dakwah mengenai cabaran kekecewaan dalam melakukan 'amal-'amal Islami. Beliau berhujah dan meletakkan beberapa faktor yang menyebabkan lunturnya semangat pemuda untuk berjihad di jalan Allah, iaitu;


(i) pakatan jahat musuh Islam terhadap Islam;
(ii) berbilang jemaah dan permusuhan yang berlaku di antara jemaah;
(iii) kegagalan untuk mencapai kemenangan; dan
(iv) berhujah dengan nas-nas yang menyeru kepada pengasingan diri daripada hidup bermasyarakat.

Dalam hal ini, 'ulama dan mujahid dakwah yang berpengalaman ini telah berpesan supaya jangan wujud satu jamaah yang tidak mengenal Islam melainkan ia hanya bergerak dalam bidang politik dan mengkritik pemerintahan serta kerajaan. Tanpa menghiraukan pengislahan akhlak, penyempurnaan tarbiyyah dan penyucian diri, jamaah seperti ini akan menyumbang kepada kemerosotan usaha jihad. Begitu juga, orang yang berputus asa sentiasa bersikap negatif terhadap potensi gerakan Islam kerana hanya melihat satu demi satu kegagalan dalam menumpaskan kerajaan nasionalis dan sekularis ini. Akhirnya, mereka mendakwa bahawa sudah tidak ada jalan lain lagi untuk menegakkan Islam dalam negara tersebut.

Maka, kita merafa�kan doa dan munajat ke hadhrat Ilahi, memohon dengan sesungguhnya supaya seluruh ahli kita sentiasa teguh beriltizam untuk menggalas amanah Islam ini serta istiqamah dalam mendepani pelbagai mehnah dan fitnah yang datang silih berganti. Hanya mereka yang ikhlas dan telah membulatkan tekad kepada Allah akan dibayar oleh Allah dengan ganjaran harga yang cukup tinggi di akhirat kelak. Sesungguhnya martabat para mujahid dakwah yang ikhlas dan benar akan diangkat oleh Allah SWT sebagaimana Janji-Nya di dalam al-Qur'an.

PAS telah meniti dan mengharungi medan demokrasi sejak tahun 1951. Bermula penyertaannya dalam pilihanraya pada tahun 1955 sehingga PRU 12 pada tahun 2008. Sesungguhnya PAS tidak pernah diuji Allah dengan kemenangan sebesar ini. PAS sedar ujian kemenangan adalah jauh lebih sukar daripada ujian kekalahan dalam pilihanraya. Bukan hanya di peringkat luaran, malah di peringkat dalaman. Apa yang telah berlaku selama 15 bulan ini, sewajarnya kita insafi dan tafakkur sejenak. PAS pernah berada dalam keadaan hanya dengan memenangi satu kerusi di Parlimen dan majoriti satu kerusi di DUN. PAS pernah memimpin Pakatan Pembangkang di Dewan Rakyat.

Malah PAS telah menerajui Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan bersama Pakatan Rakyat memimpin Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Ini semua adalah hidangan dan ujian besar daripada Allah buat mereka yang berakal untuk sentiasa memuhasabah diri. Ia akan menjadikan PAS supaya lebih matang dalam mengharungi liku-liku demokrasi ini. Insya� Allah cabaran besar ini akan kita galas, akan kita pikul dan akan kita hargai dengan memberikan pentadbiran politik terbaik kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Imej PAS sebagai parti pembangkang perlu dijenamakan semula. PAS bukan sekadar parti pembangkang � asal bantah sahaja semua tindakan parti kerajaan, tetapi PAS kini adalah sebuah Parti Islam yang telah bersedia untuk mengambilalih kepimpinan negara dalam masa terdekat dan membawa pimpinan alternatif kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan Izin Allah. Minda dan tindakan kita perlu dididik dan bersedia menjadi pentadbir sebenar sebuah kerajaan. Kita perlu sentiasa berada dalam kancah masalah rakyat dan menawarkan penambahbaikan kepada masalah mereka.

Bukan hanya menunding jari kepada kerajaan, sebaliknya agresif dalam menyelesaikan kekusutan yang tersimpul dek kerana kesesatan dalam memimpin rakyat. AlMarhum Bapak Natsir pernah berkata,

"Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah. Tetapi ia tumbuh sendiri dalam hempas pulas kanca, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat".

Pada hari ini kita berhadapan dengan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang baru tetapi semakin lemah dan semakin laju menjunam ke lembah kebinasaan. Kita pinggirkan kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka. Sebaliknya, kita melihat kekuatan mereka. Sejauhmana kita sudah mempersiapkan diri untuk menandingi mereka dari aspek pengurusan, ekonomi, pemikiran polisi, enggagement dan sebagainya? Oleh yang demikian, pemuda perlu menampilkan dan memasarkan politik dan produk dakwah serta mempotretkan kepimpinan bermodelkan Islam dengan sebaik-baiknya.

Demikianlah akhlak berjamaah yang kita anuti. Pemuda juga mesti terus teguh mempertahankan Syura. Ramai di kalangan pemuda mempunyai kelebihan-kelebihan yang masih belum dimaksimumkan. Kita perlu memperbetulkan amalan yang biasa dilakukan dan membiasakan amalan yang betul. Kita mesti berani membuat re-invention dan re-branding yang menepati sasaran dakwah kita. Jangan kita berlaga sesama sendiri. Jangan kita berdusta sehingga membongkar rahsia tanzim kita. Jagalah adab-adab berjamaah dan jangan sekali-kali membiarkan diri kita dipergunakan musuh sama ada kita sedar atau sebaliknya. Dan kita yakin, Pemuda PAS sudah bersedia. Pemuda kini sudah mampu dan semakin matang. Dan saya teramat yakin, Pemuda PAS akan bersedia pada bila-bila masa.

Demi sesungguhnya, di dalam jamaah PAS kita kini, telah tersedia saff Pemuda yang memiliki:


(i) barisan pelapis pemimpin yang karismatik;
(ii) ulama� muda yang proaktif lagi profesional;
(iii) academia profesional berilmu Islam yang berwibawa lagi mantap; dan
(iv) ketumbukan pemuda yang tidak pernah gentar dengan jentera musuh.

Itulah benteng kekuatan Pemuda. Itulah ketahanan jamaah. Antum rijal dakwah yang bakal menempah sejarah apabila PRU ke-13 menjelang tiba! Dalam mencapai cita-cita murni Islam ini, Pemuda mesti berperanan sebagai pemangkin dan pelonjak aktiviti jamaah serta menjamin kejayaannya. Pemuda mesti berfungsi sebagai mata dan hati budi jamaah memperbetulkan kesilapan pimpinan dan gigih mempertahankan jamaah daripada sebarang anasir perosak yang menikam jamaah dari dalam. Oleh itu Pemuda mesti berani dan bersiap-siaga memikul tanggungjawab yang lebih besar apabila diminta oleh pimpinan.

Pemuda yang rata-ratanya bersifat profesional walau apapun latar belakang pendidikan, mestilah menjadi sumber kekuatan yang membantu kepimpinan ulamak yang telah kita bentuk begitu kukuh sejak sekian lama. Gandingan mantap inilah yang akan kita teruskan, paduan tenaga inilah yang akan kita terus gilap dan inilah saff sebenar kita berhadapan dengan pilihanraya ke-13 nanti!

Bukankah Pemuda yang pernah dipimpin oleh bekas-bekas Ketuanya terdahulu telah bekerja keras membina dan mengasaskan kepempinan sedia ada? Bukankah Pemuda juga yang bekerja keras berganding bahu dalam pilihanraya tahun 1999 sehingga 2008 yang lalu dan menghasilkan natijah kemenangan yang kita rasai sekarang? Ayuh...., pada hari ini saya mengajak seluruh Pemuda PAS dalam Dewan Muktamar ini memantapkan gandingan tenaga sedia ada ini ke arah kecemerlangan Islam! Kukuhkan penyatuan kita dan bersedia untuk hadapi hari-hari mendatang.......

Tidak dapat dinafikan peranan pemuda dalam gerakan Islam sedunia. Sebagai contoh, pada tahun-tahun 1970-an, Dr. Ali Shari'ati telah membincangkan peranan pemikir reformasi yang celik atau englightened souls yang berjaya untuk mencapai transformasi secara revolusi. Beliau sering mengingatkan bahawa matlamat golongan cerdik adalah berfungsi menanam kepercayaan dinamik dalam diri umat manusia sendiri bagi membentuk kesedaran diri dan memformulasikan idealisme mereka. Pasakkanlah kesepaduan ini agar dapat menghasilkan impak dan natijah yang luar biasa.

Sebenarnya kita sudah berjaya melahirkan pemimpin pemuda yang berpotensi. Tapi kita mesti bekerja lebih kuat untuk melahirkan pemuda yang luar biasa keupayaannya. Pemuda perlu melakukan pelaburan yang besar dalam membina pelapis kepimpinan dan menjalankan penyelidikan sains sosial dan polisi negara. Kita tidak dapat menafikan kehebatan pemuda dalam mengoperasikan politik, tetapi ia perlu diseimbangkan dengan tawaran polisi negara yang konstruktif.

Perkara ini penting supaya pemimpin yang lahir dari vakum pemuda mempunyai pemikiran Islam yang jelas, berkarisma tinggi, bijak dalam menyelesaikan konflik, kental iman dan taqwa, berani serta cintakan syahid. Di samping itu, pemuda juga mesti memikirkan jaringan pendidikan yang melengkapkan ketrampilan pemuda. Pendidikan pra-sekolah mesti dititikberatkan, pendidikan di peringkat rendah dan menengah mesti didekati, di peringkat pengajian tinggi mesti dijadikan medan latihan yang paling efektif.

Kesimpulannya, Dewan Pemuda mempunyai elemen-elemen yang mantap lagi tuntas untuk membina sebuah negara yang kita impikan. Kukuhkanlah integrasi kepakaran ilmu, perhebatkanlah gerakan kepemudaan dan yakinlah dengan Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya masa depan itu pasti dan tetap milik Islam.- azm

Firman Allah SWT dalam ayat 32, Surah At-Taubah, "Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendakinya melainkan Allah akan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukainya"

Dengan lafaz "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", saya merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS yang ke-50, 1430 Tahun Hijriyy bersamaan 2009 Masihi.

Wassalamualaikum wm wb.- azm

Kerajaan Negeri Henti Kutipan RM50 Serta Merta

SHAH ALAM, 3 Jun - Kerajaan Selangor hari ini memutuskan untuk menghentikan serta merta kutipan bayaran RM50 terhadap seluruh peniaga pasar malam di negeri ini.
Demikian kata Dato’ Menteri Besar Selangor kepada pemberita selepas merasmikan Program Meningkatkan Pendidikan Sekolah-Sekolah Tamil, di sini, petang tadi.
Menurutnya, langkah menghentikan bayaran tersebut dibuat berikutan aduan yang diterima pihaknya berikutan para peniaga di kawasan Ampang Jaya menanggung beban pembayaran tersebut.
“Exco kerajaan negeri telah berbincang dan memutuskan tiada lagi kutipan wang RM50 terhadap mereka malam selepas ini,” katanya yang berjanji memulangkan semula bayaran yang dibuat oleh peniaga sebelum ini.
Dalam masa yang sama, Abdul Khalid berkata kutipan sebanyak RM4 sebagai yuran pengurusan sampah di kawasan pasar malam diteruskan seperti biasa.
“Walau bagaimanapun urusan kutipan hanya dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kawasan masing-masing sahaja”, katanya. - MURIZA ABDUL HAMID